Selangorkini
Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Foto Facebook UiTM Shah Alam
AGENDA NASIONAL

UiTM nafi 600 pensyarah sambilan ditamat perkhidmatan

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menafikan penamatan perkhidmatan 600 pensyarah sambilan seperti dilaporkan sebuah portal berita berbahasa Inggeris semalam.

Menerusi kenyataan hari ini, Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim menyifatkan laporan bertajuk ‘UiTM re-assesses 600 part-time lecturers after funding cut’ sebagai salah tafsir serta mengelirukan pelbagai pihak.

“Dalam kenyataan bertulis UiTM kepada portal berita itu, sama sekali tidak menyentuh isu berkaitan pemotongan bajet universiti. Oleh itu, isu pemberhentian pensyarah sambilan tidak timbul,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Azraai menjelaskan bahawa pengambilan pensyarah sambilan UiTM bagi setiap semester adalah berdasarkan kepada keperluan program serta subjek di setiap fakulti.

“Justeru, jumlahnya adalah berbeza-beza pada setiap semester. Oleh itu, laporan yang mengatakan UiTM memberhentikan pensyarah sambilan adalah tidak tepat dan amat dikesali,” katanya.

Menurutnya, UiTM sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi yang prihatin dengan pembangunan serta operasi universiti malah ia adalah satu proses berterusan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

– BERNAMA


Pengarang :