Imej komputer yang dihasilkan oleh Nexu Science Communication bersama Kolej Trinity College di Dublin menunjukkan struktur model betakoronavirus, yang dikaitkan dengan Covid-19, dikongsi bersama REUTERS pada 18 Februari 2020.
AGENDANASIONAL

UOB Malaysia sahkan seorang staf positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 1 NOV: United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) hari ini mengesahkan seorang kakitangannya yang tidak berhadapan dengan pelanggan di Menara UOB, Jalan Raja Laut, di sini, telah disahkan positif Covid-19.

UOB Malaysia berkata kakitangan tersebut kini sedang menerima rawatan perubatan dan bank itu membantu beliau serta keluarganya dengan semua sokongan yang mungkin diperlukan semasa tempoh pemulihannya.

“Kami ingin memberi jaminan kepada semua pelanggan, kakitangan dan masyarakat bahawa kerja-kerja pembersihan yang menyeluruh sedang dijalankan di semua tingkat dan kawasan umum yang terlibat di Menara UOB selaras dengan garis panduan pihak berkuasa kesihatan.

“Kami juga ingin memberi jaminan kepada pelanggan bahawa kejadian ini tidak mengganggu perkhidmatan yang kami sediakan memandangkan bahawa bank telah melaksanakan pelan kesinambungan perniagaan yang mantap,” kata bank itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, UOB Malaysia berkata sembilan cawangan yang ditutup sementara dari 21 Oktober, 2020, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang disasarkan, akan beroperasi semula pada 2 November ini dengan waktu operasi yang lebih pendek.

Ini termasuk tiga cawangan di Kuala Lumpur (Jalan Imbi, Medan Pasar dan Kepong), empat cawangan di Selangor (Kota Damansara, Shah Alam, Ijok dan Jalan Othman, Petaling Jaya) dan 2 cawangan di Sabah (Tuaran dan Sandakan).

“Semua cawangan ini akan dibuka dari jam 9.30 pagi hingga 2 petang, Isnin hingga Jumaat, manakala kemudahan perbankan layan diri akan disediakan dari jam 6 pagi hingga 6 petang setiap hari.

“Kami akan terus melakukan segala usaha untuk membantu melindungi kesejahteraan kakitangan, pelanggan dan masyarakat dalam keadaan yang mencabar ini,” kata bank itu.

– BERNAMA


Pengarang :