Anggota Imigresen membawa sebahagian warga asing untuk diperiksa dokumen perjalanan ketika operasi serbuan terhadap warga asing di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKDP) Pasar Jalan Othman pada 20 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Usaha kurangkan kebergantungan pekerja asing antara tumpuan Parlimen

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Usaha kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing bagi industri pembinaan bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, isu itu terkandung dalam sesi soal jawab lisan yang akan diajukan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) kepada Menteri Kerja Raya berkenaan bilangan pelatih Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan sejauh mana ABM boleh menyediakan tenaga kerja mahir.

Selain itu, Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) pula meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan langkah khusus membantu industri perniagaan berasaskan perkahwinan yang terbeban dengan pembatalan dan prosedur operasi standard yang ketat susulan Covid-19.

Usai sesi itu, perbahasan berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 berkenaan Belanjawan 2021 kemudiannya akan mengambil tempat untuk hari keenam.

Sidang Dewan akan berlangsung selama empat jam sehari iaitu mulai 10 pagi hingga 2 petang setiap Isnin hingga Khamis, selain mengehadkan hanya 80 Ahli Parlimen – 41 pihak kerajaan serta 39 pembangkang dan Bebas – yang dibenarkan berada di dalam dewan pada satu-satu masa.

Peraturan itu diperkenalkan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak COVID-19.

Menurut takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Disember.

– BERNAMA


Pengarang :