Selangorkini
Mariam Hassan memeriksa kualiti jahitan jubah konvokesyen yang dihasilkan oleh Qabilah Tailor
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Usahawan jahitan tepis pancaroba, kaget rumah nyaris dilelong

Foto Asri Sapfie

Ketika berkereta ke Damansara Damai, Petaling Jaya, Mariam Hassan berhenti di persimpangan lampu isyarat. Sementara menunggu lampu hijau, pandangannya melilau memerhati suasana.

Tiba-tiba matanya menangkap tampalan iklan lelongan rumah pada tiang lampu isyarat. Nafasnya jadi sesak, fikirannya mula berkecamuk. Aghhh, rumahnya sendiri!

Tunggakan pinjaman bank mencecah enam bulan ketika itu, semuanya berjumlah RM8,000. Tunggakan bil air dan elektrik pula RM1,600, hanya tunggu masa dipotong.

Wajah suami yang tiga bulan terkedang di rumah akibat nahas jalan raya turut terbayang. Muhammad Syafiee Ambok Dalek, 37, tidak mampu bekerja kerana berlaku pendarahan dalam otak. Bahu kanan juga patah.

Ingatannya berselang-seli dengan kemerosotan perniagaan Qabilah Tailor yang diusahakan sejak 2011. Baru menginjak dua tahun kini terumbang-ambing. Rumah yang dijadikan premis niaga pula bakal dilelong.

Tiga kali pinjam

Mariam, 39, mula mempelajari selok-belok perniagaan jubah konvokesyen dari ibu dan bapa mentuanya. Selepas mahir, beliau dan suami membuka perniagaan sendiri berbekal sebuah mesin jahit.

Mariam Hassan

Beliau memohon pinjaman Mikrokredit Miskin Bandar Selangor (kini Hijrah) sebanyak RM5,000 untuk membeli kelengkapan lain. Kerja menjahit dibuat di rumah. Mereka turut membuat blazer, bush jaket dan kemeja korporat.

Beberapa tahun kemudian, Mariam membuat pinjaman RM20,000 pula, kali ini bagi menambah stok jubah sewaan dan membeli mesin tambahan. Beliau juga mula menyewa premis di Pangsapuri Saujana.

Apabila tempahan kian banyak, Mariam meminjam lagi RM30,000 dari Hijrah untuk membeli mesin jahit terpakai dan menambah lagi stok jubah yang ada.

Beliau banyak menimba ilmu melalui Hijrah yang menawarkan kursus keusahawanan termasuk bimbingan pengurusan perniagaan dan kewangan.

“Usahawan yang memerlukan modal pusingan boleh cuba buat pinjaman Hijrah kerana ia mudah, cepat dan tiada birokrasi untuk kembangkan modal perniagaan,” katanya kepada SelangorKini baru-baru ini.

Bersengkang mata

Kurang tiga minggu sebelum tarikh lelongan rumah, Mariam menerima tempahan jubah konvokesyen bernilai RM15,000 dari sebuah kolej di Kuala Lumpur.

Dibantu pekerja, beliau bersengkang mata menyiapkannya sambil berharap menerima bayaran sebelum tarikh lelongan.

Pekerja Qabilah Tailor menjahit pakaian tempahan pelanggan

“Hanya beberapa hari sebelum rumah saya dilelong, saya terima bayaran dan terus langsaikan tunggakan pinjaman dan bil,” katanya

Berbekal baki wang selepas melangsaikan semua itu, Mariam menggunakannya sebagai modal pusingan untuk bangkit semula. Perlahan-lahan perniagaannya kembali stabil dan berkembang maju.

Kini, Mariam memiliki tujuh mesin dianggar bernilai RM20,000 dan lebih 1,000 pasang jubah untuk disewa kepada sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Biasanya tempahan jubah untuk sekolah berharga antara RM100 hingga RM150. Bagi institusi pengajian tinggi pula sekitar RM250 manakala jubah untuk orang kenamaan mencecah ribuan ringgit sepasang.

Mariam bukan sahaja menerima tempahan sekitar Lembah Klang bahkan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Biasanya, tempahan diterima dalam talian atau lima ejen pemasarannya. Tempahan mampu mencecah 500 pasang.

Kini, Mariam berazam mengembangkan perniagaan dengan memperkenal jubahnya kepada lebih banyak lagi sekolah seluruh negara. Malah, Mariam berhasrat untuk membuka peluang kepada golongan asnaf mencari pendapatan tambahan dengan menjahit di rumah.


Pengarang :