Pekerja memeriksa kualiti sarung tangan yang dihasilkan sebelum dipasarkan ke luar dan dalam negara ketika tinjauan di Kilang Top Glove di Meru Klang pada 26 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Vaksin Covid-19: Top Glove jangka permintaan sarung tangan terus meningkat

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Top Glove Corporation Bhd menjangkakan permintaan terhadap sarung tangan bagi tujuan pemeriksaan akan meningkat dua kali ganda apabila vaksin Covid-19 dapat disediakan menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi Top Glove Tan Sri Lim Wee Chai juga menyifatkan perniagaan itu kekal kukuh dalam jangka panjang manakala potensi saham syarikat itu bergantung kepada pendapatan dan prestasinya.

“Harga saham syarikat mencatat prestasi yang baik sejak 11 bulan lepas. Hanya baru-baru ini kami berdepan cabaran dan berharap ia bersifat sementara agar keadaan dapat kembali kepada sebelumnya.

“Dari segi perkembangan vaksin Covid-19, sarung tangan pemeriksaan ini diperlukan bagi tujuan suntikan vaksin tersebut.

“Oleh itu, dunia perlu menghasilkan tujuh bilion vaksin yang pastinya memerlukan tujuh bilion pasang sarung tangan,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

Di sebalik jangkaan peningkatan permintaan, pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu terpaksa bertindak menutup beberapa kilangnya berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerjanya.

Malah, sejumlah 20 kilang syarikat itu ditutup sementara manakala lapan lagi masih beroperasi yang menyebabkan pengeluarannya berkurangan sebanyak 10-20 peratus.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan sebelum ini mendakwa keadaan itu disebabkan oleh persekitaran asrama pekerja yang teruk, namun disangkal oleh Lim.

“Kami mengalu-alukan beliau untuk berkunjung semula ke sini. Ini kerana, sejak kunjungan beliau sebelum ini, keadaan (penginapan) pekerja dipertingkatkan apabila kami menambah peruntukan untuk penambahbaikan kemudahan itu dengan cepat.

“Oleh itu, kami amat terkejut dengan komen sedemikian. Kami perlu jelaskan dengan kementerian bagi mengenal pasti ruang yang memerlukan perhatian serta cara untuk mengatasinya,” katanya.

Ditanya sama ada bilangan kes jangkitan yang tinggi itu turut menyebabkan sarung tangan tercemar, Lim berkata itu sukar berlaku berikutan persekitaran kilang dengan suhu antara 30-40 darjah Celsius.

“Suhu dalam ketuhar sahaja adalah sekitar 110 darjah Celsius dan virus Covid-19 tidak dapat bertahan dalam keadaan panas. Dari segi pembungkusan sarung tangan, para pekerja kami dilengkapi dengan peralatan perlindungan diri dan tiada sentuhan langsung dengan sarung tangan.

“Apabila bungkusan ini dihantar menerusi kontena, suhunya juga panas iaitu lebih 40 darjah Celsius dan penghantaran menerusi kapal ke Eropah dan negara-negara lain memakan masa selama sebulan. Sudah pasti tidak berlaku sebarang pencemaran,” katanya.

Saham-saham Top Glove terus susut susulan laporan yang mengesahkan bahawa 20 kilang di Klang, Selangor, akan ditutup sementara susulan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja.

Malah, harga saham pengeluar sarung tangan itu merosot kira-kira 30 peratus sejak awal November lepas.

-BERNAMA


Pengarang :