Grafik Media Selangor
AGENDABERITA UTAMAEKONOMINASIONAL

Vaksin, upaya tangani Covid-19 penentu ekonomi pulih – pakar

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kecil pada suku ketiga 2020, adalah sejajar dengan aktiviti pembukaan semula ekonomi serta kadar jangkitan Covid-19 yang lebih rendah.

Malah, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyifatkan KDNK yang menguncup 2.7 peratus bagi tempoh tersebut adalah lebih baik daripada jangkaan awal.

“Perbelanjaan pengguna yang menjadi teras ekonomi Malaysia telah susut pada margin lebih kecil berbanding suku sebelumnya manakala eksport bersih naik 21.9 peratus apabila ekonomi global mendapat dorongan selanjutnya,” katanya kepada Bernama.

Mengulas prospek masa depan, belian berkata aspek seperti perkembangan vaksin dan kemampuan negara menangani pandemik itu turut menjadi penentu sama ada ekonomi mampu pulih.

Menurut Mohd Afzanizam, perkembangan mengenai penemuan vaksin itu dapat ‘menjamin’ pemulihan secara lebih jelas serta membolehkan ekonomi berfungsi sepenuhnya.

“Sokongan dasar daripada pihak berkuasa fiskal dan monetari misalnya juga amat besar dan sepatutnya boleh diterjemahkan kepada pemulihan lebih kukuh,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa keadaan masih tidak menentu di beberapa bahagian dunia khususnya di Eropah berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan baru-baru ini.

“Di peringkat domestik, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di kebanyakan negara juga boleh menjejaskan momentum pemulihan.

“Namun, secara keseluruhannya, ini menjadi permulaan yang baik untuk meningkatkan keyakinan apabila penemuan vaksin itu terus mendapat lebih banyak perhatian pada akhir-akhir ini. Pada masa sama, peruntukan Belanjawan 2021 yang besar itu juga dijangka dapat mendorong pemulihan ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Lau Zheng Zhou turut berkongsi pandangan sama bahawa vaksinasi akan menjadi kunci bagi penetapan semula ekonomi global dan membolehkan perkembangan ekonomi.

“Namun, masih terlalu awal untuk mengulas aspek keberkesanan vaksin Covid-19. Usaha pengeluaran secara besar-besaran dan seterusnya kepada pengguna akan mengambil masa yang lama. Ini bermakna, kita masih perlu menunggu sekurang-kurangnya setahun atau setahun setengah sebelum dapat melihat vaksin itu digunakan.

“Pada masa sama, perniagaan dan pekerja tidak boleh sekadar melihat dan menunggu sahaja. Oleh itu, Malaysia, sama seperti dunia lain perlu mempelajari untuk menerima dan mengamalkan norma baharu itu,” katanya.

Atas alasan itu juga, Lau berkata, kerajaan perlu menghasilkan dokumen dasar sebagai panduan untuk pertumbuhan Malaysia bagi jangka pertengahan dan panjang yang menumpukan aspek baharu dan lebih berpotensi.

“Jika kita memikirkan sama ada ekonomi akan pulih dalam masa 12-24 bulan akan datang, bagi saya, apa yang penting adalah kemampuan Malaysia serta juga dunia untuk menangani pandemik tersebut.

“Malaysia adalah ekonomi berorientasikan eksport dan banyak bergantung kepada kestabilan dan persekitaran global. Kemampuan Malaysia untuk mencatat pemulihan kukuh itu bergantung sejauh mana kita mahu memanfaatkan peluang apabila pertumbuhan global kembali berlaku,” katanya.

Menurutnya, ini termasuk keperluan untuk melandaikan lengkungan jangkitan Covid-19 dalam masa terdekat selain mengelak ekonomi terus diletakkan di bawah kawalan pergerakan.

Sementara itu, bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia Dr Zakariah Abdul Rashid percaya KDNK Malaysia bagi 2021 adalah lebih rendah berbanding 2019.

Bagi merealisasikan pertumbuhan -4.5 peratus yang disasarkan bagi 2020, ekonomi pada suku keempat perlu mencatat pertumbuhan lebih 14.6 peratus.

“Perlu diingat bahawa pada suku ketiga kita mula membuka semula ekonomi sedangkan pada suku keempat keadaan sebaliknya (berikutan pelaksanaan PKPB),” katanya.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjangkakan KDNK bagi 2021 akan berkembang antara 6.5 peratus hingga 7.5 peratus selepas menguncup 4.5 peratus pada tahun ini berikutan Covid-19.

Pada 2019, pertumbuhan ekonomi pada 4.3 peratus.

Jangkaan itu adalah seiringan dengan unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) pada lingkungan 5.5 peratus hingga lapan peratus pada 2021.

Bagi tahun ini, BNM mengunjurkan pertumbuhan dalam lingkungan -5.5 peratus dan -3.5 peratus.

-BERNAMA

 


Pengarang :