AGENDANASIONAL

Yayasan Bank Rakyat sumbang RM50,000 kepada 250 keluarga mangsa banjir

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Yayasan Bank Rakyat meneruskan tradisi tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) hari ini apabila menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM50,000 kepada 250 keluarga yang terjejas banjir kilat di ibu negara baru-baru ini, dengan masing-masing menerima RM200.

Pengerusinya Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata mereka merangkumi penduduk dari Kampung Baru, Taman Maluri dan Kampung Datuk Keramat.

“Sebelum ini (13 November) kita telah turun bagi bantuan kepada 450 keluarga mangsa banjir di Hulu Langat dan kita dapati keadaan minggu berikutnya cuaca masih hujan lebat berterusan yang mengakibatkan banjir kilat di ibu negara.

“Insya-Allah bantuan seperti ini kita akan perluaskan ke negeri lain-lain yang terjejas banjir,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan bantuan mangsa banjir di Kampung Baru di sini hari ini.

Nazir berkata pada masa sama, yayasan itu juga mengutamakan bantuan kepada anak-anak yatim, tahfiz dan rumah orang tua yang terjejas dari segi sumbangan dan bantuan susulan penularan wabak Covid-19.

Seorang mangsa banjir, Mardziah Mohamad, 77, berkata rumahnya di Jalan Raja Ali di sini dinaiki air setiap kali hujan lebat yang berterusan dan paling teruk ialah pada September lepas apabila air naik hingga ke paras pinggang.

“Kalau nak kira berapa kali banjir tidak terkira dah, minggu ini pun selang sehari walaupun kadang-kadang air masuk ke lantai rumah setakat aras buku lali sahaja, tetap rumah kena cuci dan angkat barang juga.

“Jadi, sekarang apabila setiap kali hujan lebat, saya akan cepat-cepat angkat yang mana patut,” katanya yang percaya banjir kilat itu berpunca daripada sistem perparitan tersumbat dan projek pembinaan yang menyebabkan air bertakung.

Mohd Esa Abdul Hamid, 43, pula berkata dia kerugian lebih RM1,000 apabila perabot rumahnya rosak ditenggelami air dalam kejadian baru-baru ini selepas hujan lebat berterusan lebih empat jam.

– BERNAMA


Pengarang :