AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Yide kini di Shopee, galak orang ramai sedekah

SHAH ALAM, 17 NOV: Orang ramai kini boleh menyumbang ke tabung Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) dengan membuat pembelian baucar RM10 dan RM50 di platform digital Shopee.

Pengurus besarnya Nur Mohd Razali Abdullah berkata saluran yang disediakan sejak awal bulan ini memudahkan penderma berinfaq sambil membeli-belah di aplikasi tersebut.

“Pembelian secara dalam talian menjadi satu trend masyarakat masa kini dan kita tidak mahu ketinggalan daripada aspek itu dengan menawarkan kemudahan kepada orang ramai untuk menderma.

“Penderma akan menerima resit pembelian baucar dan mendapat mata ganjaran Shopee serta pengecualian cukai pendapatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya ketika dihubungi.

Beliau memaklumkan sumbangan orang ramai melalui aplikasi tersebut boleh dipilih mengikut jenis infaq seperti anak yatim, musibah atau malapetaka dan golongan memerlukan.

Mohd Razali berkata pihaknya juga merancang untuk menaikkan nilai pembelian baucar infaq kepada RM100 khusus bagi membiayai pembinaan Kompleks Anak Yatim.

“Kita berharap orang ramai mengetahui kewujudan platform tambahan untuk berinfaq ini dan memberi sokongan terhadap usaha Yide dalam membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Orang ramai boleh melayari https://shopee.com.my/yide_official untuk pembelian.


Pengarang :