Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 9 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

11 kluster baharu dikesan, tertinggi direkod setakat ini – KKM

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Malaysia semalam mencatatkan 11 kluster baharu iaitu kluster harian tertinggi, dengan empat daripadanya membabitkan tempat kerja di ibu negara, Selangor dan Pahang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata empat kluster itu ialah Kluster Tapak Bina Jalan Seng, Kluster Plastik Subang, Kluster Jalan Asam dan Kluster Semambu yang dikenal pasti melalui saringan bersasar di tempat kerja berkenaan.

“Kluster Tapak Bina Jalan Seng melibatkan daerah Titiwangsa di Kuala Lumpur dengan kes positif dikesan pada 25 Dis di sebuah tapak binaan melibatkan 407 individu dan daripada jumlah itu, 232 kes dikesan positif Covid-19.

“Kluster Plastik Subang pula melibatkan daerah Petaling dan Klang di Selangor dengan kes positif dikesan 23 Dis di sebuah kilang melibatkan 354 individu dan hasilnya 111 kes dikesan positif,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan harian Covid-19 semalam.

Sementara Kluster Jalan Asam turut membabitkan dua daerah yang sama apabila kes positif dikesan bermula 19 Disember melalui saringan bersasar di sebuah kilang sejumlah 713 individu dengan 13 kes dikesan positif.

Sebelum ini negara pernah mencatat jumlah kes harian baharu lebih 2,000 iaitu 2,188 kes pada 24 Nov; 2,234 (10 Dis); 2,018 (21 Dis) dan 2,062 (22 Dis).

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu semalam, hanya terdapat 11 kes import manakala 2,324 kes adalah penularan dalam negara.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 308 daripada jumlah kes baharu adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara iaitu Kluster Penjara Jalan Harapan,Selangor (156 kes); Kluster Pagar Siput, Johor (128 kes); Kluster Tembok, Kedah (lapan kes); Kluster Penjara Sandakan, Sabah (tujuh kes) dan Kluster Pagar Bentong,Pahang (empat kes).

“Sementara itu, Kluster Tembok Gajah, Johor (dua kes) manakala masing-masing satu kes bagi Kluster GK Tawau dan Kluster Penjara Kepayan di Sabah serta Kluster Kolam Air, Kedah,” katanya.

Mengenai dua kematian baharu semalam,beliau berkata pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes maut akibat Covid-19 di Malaysia adalah 451 kes.

Kematian ke-450 (kes 100,538) di Hospital Duchess of Kent, Sandakan,Sabah melibatkan wanita berumur 44 tahun dengan penyakit obesiti dan dispepsia, manakala kematian ke-451 (kes 101,553) di Hospital Melaka melibatkan lelaki berusia 70 tahun dengan penyakit kencing manis, darah tinggi, dan “Benign Prostatic Hypertrophy”.

Beliau berkata, bilangan kes pulih semalam pula adalah 874 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya kini sebanyak 83,414 manakala terdapat 108 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 50 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

– BERNAMA


Pengarang :