Pekerja dan peniaga Pasar Awam Banting menunggu giliran untuk menjalani saringan Covid-19 pada 31 Disember 2020. Foto PKD Kuala Langat
SELANGOR

146 pekerja, peniaga Pasar Awam Banting jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 31 DIS: Seramai 146 pekerja dan peniaga Pasar Awam Banting menjalani saringan Covid-19 bersasar yang dikendalikan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat hari ini.

Pegawai kesihatannya berkata saringan menggunakan kaedah tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR) bagi mengesan kontak rapat kepada kes positif yang berkait dengan pasar terbabit.

“Setakat hari ini, PKD mengenal pasti seramai 27 kes positif yang mempunyai kaitan dengan pasar berkenaan hasil saringan dijalankan ke atas 97 kontak rapat.

“Bagaimanapun, secara keseluruhannya situasi kes di pasar tersebut dalam keadaan terkawal,” kata Dr Wan Ahmad Razman Wan Abd Salim ketika dihubungi SelangorKini.

Proses calitan bermula 9 hingga 11.30 pagi dianggotai 25 petugas kesihatan PKD dan Pejabat Pergigian Kuala Langat selain dibantu Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) serta Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Kuala Langat.

Sementara itu, beliau menasihatkan penduduk daerah terbabit supaya terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan bagi mengelak penularan wabak yang lebih serius.

“Mereka perlu mengutamakan aspek pemakaian pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman dan kerap mencuci tangan selain segera mendapatkan rawatan sekiranya bergejala seperti demam, batuk serta selsema.

“Saya juga menyeru orang ramai untuk tidak berada di tempat sesak dan keluar rumah jika tiada keperluan bagi mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.

Pasar Awam Banting ditutup selama 10 hari sejak kelmarin sehingga 7 Januari depan bagi kerja sanitasi awam.

Notis perintah tutup itu dibuat mengikut Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Pengarang :