Anggota Imigresen membawa sebahagian warga asing untuk diperiksa dokumen perjalanan ketika operasi serbuan terhadap warga asing di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKDP) Pasar Jalan Othman pada 20 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

20 pegawai imigresen positif Covid-19

PUTRAJAYA, 1 DIS: Hampir 3,500 pegawai imigresen menjalani ujian saringan Covid-19 sehingga 25 November lepas, dengan 3,000 daripadanya dikuarantin dan 20 orang lagi dirawat kerana didapati positif wabak itu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata sebagai sebahagian daripada pasukan barisan hadapan, petugas Jabatan Imigresen (JIM) berhadapan risiko terdedah kepada virus itu kerana berada paling hampir dengan warga asing dan pendatang tanpa izin yang belum dipastikan tahap kesihatan mereka.

Namun, katanya JIM tetap komited melaksanakan dasar kemasukan warga asing yang diputuskan kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN), menyaksikan sebanyak 1,332 kes positif import sehingga 30 Nov lepas.

“Bukan sahaja sebagai benteng pertama pintu masuk negara menghadapi pelawat asing yang berisiko membawa virus Covid-19 tetapi turut terlibat secara langsung dalam tugasan-tugasan berkaitan kawalan dan pencegahan pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan bersempena sambutan Hari Imigresen 2020, hari ini.

Beliau berkata penglibatan JIM dapat dilihat di kawasan tumpuan warga asing, pusat rawatan dan kuarantin warga asing seperti di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang dan operasi penguatkuasaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Khairul Dzaimee berkata sejak Januari hingga 30 November lepas, JIM melaksanakan sebanyak 6,379 operasi penguatkuasaan di seluruh negara, melibatkan pemeriksaan 93,475 individu serta penahanan 34,920 pendatang tanpa izin dan 376 majikan.

-BERNAMA


Pengarang :