Ujian saringan Covid-19 bagi persediaan menghadapi Sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PENDAPATRENCANA

2020: Covid-19, antara duka dan harapan

Oleh Syamsiah Sahat dan Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Tatkala 2020 hampir melabuhkan tirainya, musuh tanpa sempadan, Covid-19 terus ‘mengganas’ di seluruh dunia dan bermutasi pula dengan varian baharu.

Setahun berlalu tanpa kepastian namun perang menentang virus maut itu masih belum selesai.

Koronavirus yang pertama kali dilaporkan di Wuhan, China dan diumumkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Mac, kini telah menjangkiti lebih 80 juta orang dan meragut hampir dua juta nyawa di seluruh dunia.

Malaysia mencatatkan kes kumulatif 106,690 kes dengan jumlah kematian 455 setakat 28 Disember.

Pandemik berkenaan memberi kesan yang amat mendalam terhadap aspek kehidupan setiap individu, termasuk dari segi ekonomi, pendidikan, sosial malah aktiviti keagamaan.

Meskipun menerima khabar gembira yang Malaysia bakal memperoleh kumpulan pertama vaksin Covid-19 pada Februari 2021, negara terus berdepan dugaan apabila varian baharu virus itu dikesan di Sabah.

Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia menjalankan proses nyahkuman atau disinfeksi di kawasan perumahan penghuni yang dipercayai positif Covid-19 di Taman Desa Genting Balik Pulau, Pulau Pinang pada 15 November 2020. Foto BERNAMA

Pada 23 Disember, Kementerian Kesihatan (KKM) menemui A701V, virus Covid-19 bermutasi yang dikesan dalam sampel Kluster Benteng Lahad Datu dan telah tersebar ke sebahagian besar kluster dalam gelombang ketiga di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Pandemik ini masih jauh untuk dihentikan, justeru strategi untuk survival terletak pada individu itu sendiri, sama ada mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan atau tidak.

Semasa Malaysia bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan, jurucakap isu kesihatan awam negara, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tidak henti-henti mengingatkan rakyat agar tidak leka.

“Kejayaan melahirkan rasa puas hati. Kepuasan hati membawa kegagalan. Kebimbangan terbesar adalah apabila kita tidak lagi berhati-hati. Tolong terus patuhi SOP kerana seperti yang saya selalu ingatkan, tanggungjawab sekarang terletak di tangan kita untuk menghentikan penularan Covid-19,” katanya dalam catatan di media sosialnya yang sentiasa menjadi tumpuan ramai.

Gelombang Pertama Covid-19

Mengimbas kronologi Covid-19 di Malaysia, kes pertama virus itu disahkan pada 25 Januari, membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari, sekali gus mencetuskan gelombang pertama yang mencatatkan 22 kes, kebanyakannya kes import dan berakhir pada 15 Februari.

Malaysia bebas kes Covid-19 selama 11 hari, sebelum tercetusnya gelombang kedua wabak itu pada 27 Februari melibatkan warga kerja anak syarikat kerajaan dan kes mula mencatat peningkatan mendadak, sebahagiannya berpunca daripada kluster perhimpunan Seri Petaling, kluster Depot Tahanan Imigresen dan beberapa kluster kecil.

Petugas Kementerian Kesihatan bertungkus-lumus menjalankan saringan Covid-19 di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur. Foto Facebook Noor Hisham

Kluster perhimpunan Seri Petaling, yang dikesan pada 11 Mac menjadi kluster Covid-19 terbesar negara, merekodkan 3,375 kes positif Covid-19 sebelum diisytihar tamat pada 8 Julai.

Susulan pengesanan kluster itu, kerajaan mengambil langkah ‘luar biasa’ dengan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac bagi mengawal penularan sehingga negara berjaya merekodkan sifar kes tempatan pada 9 Jun dan 8 Julai.

Bagi memastikan perkembangan terkini diketahui masyarakat umum, kerajaan mengambil inisiatif dengan menyalurkan maklumat terkini perkembangan semasa Covid-19 dan PKP kepada masyarakat melalui dua individu penting iaitu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan melalui sidang media harian.

Negara Dilanda Gelombang Ketiga Covid-19

Ketika Malaysia berada di fasa pemulihan, muncul gelombang ketiga wabak itu pada pertengahan September yang melibatkan penularan jangkitan dalam penjara dan banduan warga asing di Sabah serta Kedah, selain faktor kegagalan pematuhan SOP ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Dr Noor Hisham mengakui gelombang ketiga Covid-19 lebih mencabar kerana dikesan melibatkan virus mutasi D614G yang lebih mudah merebak dan mempunyai kebolehjangkitan tinggi, namun disifatkan lebih terkawal berbanding gelombang sebelum ini.

Anggota polis dan tentera memeriksa penunggang motosikal yang melalui sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Jalan Kuching pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA

Walaupun negara dilanda beberapa siri gelombang Covid-19, tindakan agresif, proaktif dan lebih awal KKM dilihat berjaya mengawal penularan pandemik itu dengan cemerlang dan menjadi sesuatu yang dibanggakan, termasuk di peringkat antarabangsa.

Kecemerlangan KKM terbukti apabila Malaysia diiktiraf dunia sebagai antara negara terbaik dalam pengurusan wabak itu termasuk oleh WHO malah kementerian itu turut merangkul Anugerah BrandLaureate pada Julai.

Bukan itu sahaja, Dr Noor Hisham yang mengetuai pasukan kesihatan negara turut diiktiraf sebagai antara tiga pakar perubatan unggul dunia oleh Chinese Global TV Network (CGTN), malah beliau turut diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah 2020 selain dikurniakan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) membawa gelaran Tan Sri oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Pengarah Kesihatan itu menegaskan pengiktirafan dalam ‘perang’ menentang Covid-19 adalah hasil usaha kolektif pasukan kesihatan KKM bersama empat ‘panglima perang’ iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon, Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Keong, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal) Dr Hishamshah Mohd Ibrahim dan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Datuk Dr Norhayati Rusli serta keseluruhan petugas barisan hadapan.

Dalam pada itu, usaha negara membendung wabak itu tidak terlepas daripada terpalit dengan beberapa peristiwa kontroversi seperti tuduhan tidak tepat dalam laporan media antarabangsa, Al Jazeera melibatkan pekerja asing, dakwaan ‘DG takut mati’ yang dilemparkan seorang Ahli Parlimen serta insiden pelanggaran SOP membabitkan orang kenamaan dan menteri.

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyampaikan sumbangan RM15,000 kepada wakil kolej kediaman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto: Twitter Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Turut mengejutkan negara, apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif Covid-19 dan berikutan itu, hampir kesemua menteri Kabinet termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diarahkan menjalani kuarantin 14 hari.

Tidak terkecuali Menteri Kesihatan sendiri, Datuk Seri Dr Adham Baba menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari sejak 10 Dis kerana didapati menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

KKM Pertingkat Kapasiti Hadapi Covid-19

Bagi memastikan kesiapsiagaan supaya impak Covid-19 di negara ini terus diminimumkan, KKM menyediakan 6,055 katil untuk merawat pesakit Covid-19 seluruh negara dan 22,145 katil di 86 Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah, menjadikan jumlah keseluruhan katil bagi kesiapsiagaan merawat pandemik ini sebanyak 28,200.

Selain itu, kapasiti makmal seluruh negara bagi menjalankan setakat ini ujian kini berjumlah 63 buah termasuk makmal swasta yang boleh menampung sehingga hampir 60,000 ujian sehari.

Tabung uji berlabel vaksin dilihat di depan logo AstraZeneca dalam ilustrasi diambil pada 9 September 2020. Foto REUTERS

Dunia kini menaruh harapan menerusi vaksin dan Malaysia bakal memperoleh bekalan vaksin Covid-19 daripada beberapa syarikat farmaseutikal mulai awal tahun depan bagi menampung keperluan imunisasi sehingga 70 peratus rakyat negara ini.

Perdana Menteri sebelum ini berkata pemberian vaksin kepada rakyat Malaysia adalah secara percuma dan berperingkat dengan mengutamakan kumpulan berisiko tinggi ini termasuk petugas barisan hadapan, warga emas dan pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD).

Kesimpulannya, pandemik Covid-19 yang melanda bukan hanya perlu dipandang sebagai musibah tetapi hikmah yang mengekorinya juga bukan sedikit.

Kerana virus ini, cara rakyat Malaysia berubah 360 darjah dengan mengamalkan norma baharu iaitu memakai pelitup muka di tempat awam, mengamalkan penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan di samping perubahan landskap dalam pentabdiran kerajaan dan swasta serta pekerjaan.

Yang pasti 2021 yang bakal mendatang penuh dengan harapan agar Covid-19 lenyap dari muka bumi Malaysia dan dunia.

– BERNAMA


Pengarang :