Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Seri Nancy Shukri ketika menghadiri taklimat dan sidang media mengenai status terkini Gelembung Perjalanan Pelancongan Domestik dan Sesi Soal Jawab Bersama Media di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada 23 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

2021 tahun pulihkan ekonomi negara melalui pelancongan domestik

PUTRAJAYA, 30 DIS: Tahun 2021 akan menjadi tahun untuk memulihkan ekonomi negara melalui pelancongan domestik, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau menyeru masyarakat untuk menerokai pelbagai destinasi pelancongan menarik yang ada di negara ini menerusi inisiatif ‘Cuti-Cuti Malaysia’.

“Ayuh rakyat Malaysia, terokailah pelbagai destinasi pelancongan menarik dalam negara, rasailah juadah-juadah enak kita, kenali lah budaya orang kita, hayati warisan dan kesenian kita dan hargai kepelbagiaan serta keharmonian kita.

“Semua ada di Malaysia… tanah tumpah darah kita,” katanya dalam video ucapan akhir tahun 2020 berdurasi dua minit 29 saat hari ini.

Mengimbas tahun 2020, Nancy berkata tahun ini merupakan tahun cabaran dimana hampir seluruh dunia terpaksa berada dalam keadaan ‘lockdown’ dan industri pelancongan secara keseluruhan terpaksa berhenti beroperasi.

Beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) telah merancang dan melaksanakan pelbagai pelan serta strategi bersesuaian untuk mendepani cabaran semasa ini.

“Saya yakin semua inisiatif dapat meransang dan menyuntik perbelanjaan domestik secara konsisten,” katanya menambah, pelan Pemulihan Pelancongan Seni dan Budaya juga dapat membantu usahawan kraf menjana pendapatan mereka.

– BERNAMA


Pengarang :