Setiap premis perniagaan wajib menyediakan kod QR aplikasi MySejahtera untuk diimbas pelanggan sebelum masuk ke kedai selain menyediakan alat penyukat suhu dan cecair pembasmi kuman bagi mencegah penularan Covid-19 ketika tinjauan pada 24 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

217 ditahan ingkar PKP, tidak pakai pelitup muka kesalahan tertinggi

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Sebanyak 217 Individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 210 dikompaun manakala tujuh direman, semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tidak memakai pelitup muka mencatat kesalahan tertinggi dengan 99 kes, diikuti dengan kegagalan menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan sebanyak 60 kes.

Kesalahan lain adalah kegagalan mematuhi arahan penjarakan fizikal sebanyak 31 kes, aktiviti pusat hiburan (17) dan lain-lain (10), katanya dalam satu kenyataan berkaitan PKP dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata seramai 67 pendatang asing diberkas hasil kawalan ketat sempadan negara secara bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Turut dirampas dalam operasi itu ialah empat kenderaan darat dan lapan bot, katanya.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Ismail Sabri berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 27 tapak binaan di seluruh negara, dan kesemua mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Sementara itu, beliau berkata sejak 24 Julai hingga semalam, 85,383 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 77 hotel serta 19 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 12,626 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 542 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, sementara 72,215 individu dibenarkan pulang,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :