Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj belayar mengelilingi dunia dengan merentasi tiga lautan, 14 perairan, tiga terusan dan 159 pelabuhan. Foto NSTP
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

22 bulan belayar kelilingi dunia

Sempena Hari Keputeraan ke-75 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember 2020

Oleh Norrasyidah Arshad

Minat mendalam Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terhadap dunia pelayaran membawa baginda mengelilingi dunia selama 22 bulan.

Baginda mencapai impian itu apabila belayar sejauh 32,200 batu nautika mengelilingi dunia pada 4 Februari 1995 ketika memangku tugas Sultan Selangor pada usia 49 tahun.

Mengikut Arkib Negara, Sultan Sharafuddin teruja apabila hasrat yang terpendam sejak kecil diperkenankan ayahandanya Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Baginda kemudian mengembara di lautan melalui kapal layar buatan Finland.

Kapal sepanjang 20 meter yang dinamakan S.Y Jugra membawa baginda merentasi tiga lautan, 14 perairan, tiga terusan dan 159 pelabuhan.

Selama 644 hari belayar, baginda ditemani anak kapal berpengalaman daripada New Zealand iaitu Craig Rosevear, Mark Crossen dan Clare John Stone. Masing-masing ada tanggungjawab termasuk sebagai jururawat.

Pengembaraan mengelilingi dunia itu menempa sejarah tersendiri berikutan baginda menjadi anak Melayu pertama berbuat demikian.

Kejayaan itu membuktikan orang Melayu juga setanding bangsa lain selain menggambarkan darah nenek moyang baginda berketurunan Raja Lumu memang terkenal dengan pelayaran.

Pencapaian baginda turut tercatat dalam The Malaysia Book Of Records sebagai ‘Pertama Belayar Mengelilingi Dunia’.

Ancaman

Sepanjang aktif melakukan hobi tersebut, pelayaran pada 1975 mungkin peristiwa yang tidak mungkin dapat dilupakan baginda.

Mengikut majalah Malaysia Tatler May 1995 dalam artikel berjudul Prince Of Tides The Raja Muda Selangor Tengku Idris Shah, baginda hampir dibunuh sekumpulan lanun tetapi dapat menyelamatkan diri melarikan diri ke Labuan.

Meskipun kejadian itu hampir meragut nyawa, namun ia tidak sedikit pun melemahkan semangat baginda untuk terus meminati dunia pelayaran.

Selain ancaman penjenayah laut, baginda mengakui faktor alam seperti cuaca, angin, hujan dan keadaan air turut menjadi halangan. Namun bagi baginda, kepuasan belayar sesuatu yang mustahil untuk digambarkan.

Bagi baginda, laut adalah persekitaran yang memberi kedamaian dan selalu menggamit kerinduan.

Mengikut tulisan A Rashid Ahmad pada 1997 di Utusan Malaysia berjudul Tengku Idris: Buku adalah emas, minat baginda tumbuh sejak di bangku sekolah lagi.

Tabiat membaca berkisar dunia laut menimbulkan keinginan untuk merasai pengalaman seperti ahli pelayaran terkenal pada zaman dahulu antaranya Captain Cook, Nelson, Columbus, Magellan, Vasco Da Gama dan Marco Polo.

Sehingga kini, Sultan Sharafuddin memiliki beberapa kapal layar yang menjadi simbol semangat Bugis yang akrab dengan pengembaraan laut.

Dalam wawancara dengan A Rashid, baginda ada bertitah: “Untuk menjadi sebuah bangsa yang kuat, kita perlu mempunyai sikap berani meredah gelombang dan menyahut cabaran”.

Minat mendalam Sultan Sharafuddin terhadap dunia pelayaran tidak berhenti di situ sahaja. Baginda mewujudkan pertandingan pelayaran, Raja Muda International Regatta bermula pada 1990.

Sehingga ini, acara tahunan yang memasuki edisi ke-31 pada tahun ini terus kekal dan menarik minat pelayar.

Namun, kejohanan yang dijadual berlangsung antara 13 hingga 21 November terpaksa ditangguh berikutan penularan Covid-19.


Pengarang :