Notis penutupan Pasar Awam Banting untuk operasi sanitasi pada 29 Disember 2020. Foto Facebook
AGENDANASIONAL

25 kes positif Covid-19 dikesan di Pasar Awam Banting

SHAH ALAM, 30 DIS: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan 25 kes positif Covid-19 di Pasar Awam Banting, Kuala Langat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berkata sebanyak 25 kes yang dikesan dikaitkan dengan pasar terbabit dan 43 kontak rapat sudah disaring.

“Khamis ini (31 Disember), pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat akan melakukan saringan kepada semua peniaga melibatkan 101 orang,” kata Datuk Dr Sha’ari Ngadiman ketika dihubungi.

Beliau menambah pasar itu ditutup 10 hari mulai semalam berikutan terdapat individu tidak patuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Kita mendapati ada dalam kalangan mereka tidak menjaga penjarakan, tiada rekod pembasmi kuman tiga kali sehari dan tiada rekod saringan tanda gejala kepada pekerja di pasar tersebut,” katanya.

Beliau menjelaskan penutupan itu juga bagi memberi ruang bagi operasi nyahkuman, selain saringan kepada kontak dan golongan berisiko.

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menutup Pasar Awam Banting selama 10 hari berkuat kuasa semalam hingga 7 Januari bagi proses sanitasi.

Yang Dipertua Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata kerja semburan premis diselia pihaknya, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran serta PKD.


Pengarang :