EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Mughni (tengah) menyampaikan sumbangan kepada wakil Rumah Pemulihan Riqab ketika majlis Serahan Bekalan Makanan Kering dan Persekolahan di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 24 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

26 Rumah Pemulihan Riqab terima bantuan makanan kering sejak PKPB

SHAH ALAM, 24 DIS: Sebanyak RM200,000 dibelanjakan bagi sumbangan makanan kering kepada 26 Rumah Pemulihan Riqab (RPR) seluruh Selangor sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Mei lalu.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata bantuan seperti beras, tepung gandum, gula, minyak masak, bihun, kicap dan susu memanfaatkan 2,000 penghuni rumah pemulihan terbabit.

“Kita memahami pengurusan rumah perlindungan mengalami kekurangan dana sepanjang tempoh berkenaan, lebih-lebih lagi kos pengurusan semakin meningkat pada waktu ini.

“Pek makanan bernilai RM100 diberi mengikut kapasiti penghuni rumah tersebut kerana RPR di Selangor menempatkan penghuni melibatkan pelbagai kes misalnya keganasan rumah tangga, remaja hamil, kesihatan mental, HIV/Aids dan kecelaruan gender,” katanya selepas menyerahkan cek cura bantuan kepada penghuni RPR di Bangunan Sultan Idris Shah hari ini.

Menurutnya, agihan secara dua fasa itu merupakan insiatif bagi meringankan beban pihak pengurusan pusat tersebut susulan impak pandemik Covid-19.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata bekalan fasa kedua dilaksanakan secara berperingkat mulai hari ini sehingga 28 Disember meliputi Klang, Petaling, Kuala Selangor, Gombak, Hulu Selangor dan Sabak Bernam.


Pengarang :