Pengunjung perlu mengimbas kod QR menggunakan aplikasi SELangkah atau MySejahtera sebelum memasuki medan selera di pusat membeli-belah Aeon, Shah Alam pada 12 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

6.4 juta guna SELangkah, patuh SOP kongsi data

SHAH ALAM, 29 DIS: Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) menerima maklum balas positif apabila diguna pakai kira-kira 6.4 juta orang dalam tempoh sebulan pertama dilancarkan.

Pengarah projeknya berkata kebanyakan pengguna patuh terhadap tatacara operasi piawai (SOP) dengan berkongsi data diperlukan aplikasi tersebut sebelum masuk ke sesebuah premis.

“Orang ramai tidak perlu bimbang berkongsi maklumat dalam SELangkah seperti nama dan nombor telefon yang mana lebih selamat berbanding menulis di buku dengan risikonya lagi tinggi,” kata Dr Helmi Zakariah.

Beliau berkata demikian menerusi program bual bicara: Kitaran Covid-19 dan Kemelut Vaksin anjuran Media Selangor di sini malam tadi.

Turut serta, Pengarah Selcare Management Sdn Bhd (Selcare) Muhammad Azfizam Hamzah.

Pengarah Projek SELangkah Dr Helmi Zakariah menjawab pertanyaan moderator dalam program bual bicara: Kitaran Covid-19 dan Kemelut Vaksin di Media Selangor pada 28 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Katanya, data dikongsi pengguna juga tidak disimpan sebaliknya akan dipadam selepas 30 hari mengikut polisi bagi memastikan tidak disalah guna pihak tidak bertanggungajawab.

“Penggunaan data hanya untuk tujuan kesihatan seperti jejak kontak rapat Covid-19 tetapi selepas habis tempoh kita akan padam.

“Sebab itu apabila individu imbas kod SELangkah mereka perlu mengisi maklumat lagi kerana data sebelum ini sudah tiada,” tambahnya.

SELangkah merupakan sistem menjejaki kontak rapat pesakit Covid-19 pertama di Malaysia yang sangat praktikal walaupun tanpa telefon pintar dan menghimpun data masuk keluar individu di sesebuah premis.


Pengarang :