Mohd Khairuddin Othman pada program bual bicara Peluang Kerja, Gilap Potensi Anak Muda di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 30 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

6,000 pelajar DUN Paya Jaras bakal terima bantuan Kembali Ke Sekolah

SHAH ALAM, 2 DIS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras menyediakan bantuan kelengkapan persekolahan kepada 6,000 pelajar sempena program Kembali ke Sekolah sesi 2021.

Wakil rakyatnya Mohd Khairuddin Othman berkata bantuan berjumlah RM600,000 disasarkan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Beliau menjelaskan agihan peringkat pertama melibatkan seramai 3,000 pelajar, sementara baki akan diserahkan awal tahun hadapan.

“Seramai 350 pelajar menerima bantuan setakat November meliputi persalinan baju sekolah dan beg. Permohonan dibuka sehingga hujung bulan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Khairuddin memaklumkan permohonan boleh dibuat di pejabatnya dengan kriteria utama ibu bapa dibuang atau tidak bekerja dan ibu tunggal yang mempunyai anak masih bersekolah.


Pengarang :