Selangorkini
Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama baucar pelancongan bernilai dua juta ringgit selepas Pelancaran Kempen Pusing Selangor Dulu di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah pada 17 Disember 2020. Turut bersama EXCO Pelancongan, Hee Loy Sian (dua, kanan), Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad (kanan), Adun Sekinchan, Ng Suee Lim (dua, kiri) serta Duta Kempen, Che Puan Juliana Evans (kiri). Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

7,000 baucar pelancongan boleh ditebus bermula 8 Januari

SHAH ALAM, 18 DIS: Selangor melancarkan program Penebusan Subsidi Baucar Pelancongan bernilai RM200 setiap satu bermula 8 hingga 31 Januari tahun depan.

Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 7,000 baucar boleh ditebus untuk hotel, inap desa berlesen serta taman tema di negeri ini menerusi platform e-dompet Touch n Go dan Lazada.

“Untuk e-dompet, baucar ini boleh ditebus menerusi pakej pelancongan yang disenaraikan dalam platform tersebut.

“Manakala untuk platform Lazada, orang ramai boleh tebus baucar menerusi pautan ‘Kempen Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’ dan tempoh sah baucar sehingga 31 Jun 2021,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pada sidang media Majlis Pelancaran Promosi Pelancongan Domestik ‘Pusing Selangor Dulu’ di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor semalam.

Beliau berkata sebanyak 43 penggiat sektor pelancongan terdiri pengusaha hotel, taman tema dan inap desa menyertai program baucar subsidi tersebut.

“Kita tidak boleh mengalah dan kehidupan perlu diteruskan. Kerajaan Negeri terus berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan kita semua dapat bangkit kembali,” katanya.

Pada 13 Julai, Amirudin mengumumkan subsidi baucar pelancongan bernilai RM2 juta.

Selain itu seramai 553 penggiat sektor pelancongan di Selangor terdiri pemandu pelancong berlesen, pengusaha inap desa dan Hos Komuniti Selangor turut menerima bantuan khas RM1,000 secara sekali bayar.

Duta Kempen, Che Puan Juliana Evans bersama gegantung promosi kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah pada 17 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :