ADN Pandamaran, Tony Leong Tuck Chee meninjau lokasi saringan Covid-19 percuma secara bersasar di Taman Bayu Perdana, Klang pada 23 Disember 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

915 individu jalani Saringan Komuniti Covid-19 percuma

KLANG, 23 DIS: Seramai 915 individu menjalani Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Klinik Selcare, hari ini.

Ahli Dewan Negeri Pandamaran Tony Leong Tuck Chee berkata lebih 80 peratus membabitkan penduduk tempatan manakala baki warga asing.

Menurut Tony Leong, majoriti peserta dari Taman Bayu Perdana, Prima Bayu Apartment, Bayu Villa Apartment, Bandar Bukit Tinggi dan Taman Sri Andalas.

“Kita dimaklumkan ada juga penduduk dari kawasan lain berhampiran hadir dan dibenarkan berbuat demikian tetapi perlu mendaftar dengan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) terlebih dahulu.

“Saringan kali ini menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dan keputusan diketahui lebih cepat oleh petugas kesihatan,” katanya ditemui selepas meninjau lokasi saringan di Jalan Batu Unjur 3A, Taman Bayu Perdana di sini hari ini.

Sementara itu, beliau menggesa klinik swasta yang menawarkan perkhidmatan tersebut supaya mengemas kini keputusan sampel saringan pelanggan ke dalam sistem informasi makmal kesihatan awam (Simka).

Jelas Tony Leong, langkah itu bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan individu yang dijangkiti wabak sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

“Ramai penduduk mengadu selepas dikesan positif melalui saringan berkenaan, mereka tidak segera dibawa ke hospital untuk rawatan malah ada yang perlu menunggu sehingga empat hari.

“Jadi, saya minta klinik swasta terbabit masukkan keputusan dalam Simka dan hubungi KKM untuk pesakit ke hospital,” katanya lagi.


Pengarang :