AGENSISELANGOR

AADK Selangor pantau lokasi panas kegiatan salah guna dadah

PETALING JAYA, 17 DIS: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor memantau 13 lokasi yang dikenal pasti berlaku kes penyalahgunaan dadah di negeri ini bagi membanteras kegiatan itu dalam kalangan masyarakat.

Pengarahnya, Dr Nazira Sadiron berkata lokasi berkenaan ialah Pangsapuri Desa Mentari, Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, Kampung Nakhoda dan Kampung Gombak Utara.

Lokasi lain ialah Kajang Utama, Bandar Rinching, Taman Impian Ehsan, Kampung Pandan Dalam, Pangsapuri Pandan Indah, Kampung Seri Jugra lKampung Sijangkang dan Kampung Bukit Changgang.

“Pemantauan ini dilakukan mulai tahun hadapan kerana hampir 60 peratus kes penyalahgunaan dadah dan jenayah berlaku di kawasan berkenaan,” katanya pada Majlis Perasmian Studio Inspirasi AADK Selangor di sini, hari ini.

Pada masa sama, Dr Nazira berkata pada 2019, Selangor mempunyai statistik terendah bagi kes penyalahgunaan dadah iaitu 0.2 peratus sahaja.

“Namun disebabkan negeri ini mempunyai penduduk padat, bilangan individu yang terlibat adalah tinggi.

“Disebabkan itu, pemantauan akan dilakukan sepanjang tahun hadapan bagi membolehkan bilangan ini terus turun,” katanya.

 


Pengarang :