BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

AADK Selangor tumpu banteras 13 lokasi dadah

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor memberi tumpuan kepada 13 kawasan berisiko bagi membanteras kegiatan penagihan dadah menerusi program Kawalan Penguatkuasaan Komuniti Menyeluruh (TECC).

Pengarahnya Dr Nazira Sadiron berkata pihaknya menggariskan empat fasa dengan kerjasama pegawai daerah dan penghulu mukim bagi menjayakan matlamat tersebut.

“Menerusi TECC, kita melihat pelaksanaannya menerusi empat fasa bermula pembersihan penagih dan lokasi penagihan pada Januari hingga Mac.

“Fasa kedua adalah pencegahan diikuti fasa pembangunan serta fasa pengekalan bagi mengelakkan kegiatan penagihan berulang selepas pembersihan dibuat,” katanya kepada SelangorKini.

Untuk menjayakannya, tanggungjawab itu turut dipikul penghulu dan ketua kampung bagi memastikan tiada kawasan terbiar yang boleh dijadikan tempat penagihan. Malah, hal itu antara pengukur petunjuk prestasi utama (KPI).

Usaha itu juga dibuat bersama agensi lain antaranya polis, Pejabat Daerah Tanah Petaling dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan tumpuan di Petaling Jaya Selatan (PJS) 1 hingga 6, Blok 2, Pangsapuri Desa Mentari, Gugusan Felda Hulu Selangor serta Perkampungan Nelayan Sungai Besar, Sabak Bernam.

AADK juga memperuntuk dana bagi membangunkan kebun komuniti di kawasan terbiar yang dahulunya lokasi penagihan.

“Walaupun beberapa daerah kini sudah hijau dari penagihan dadah, AADK tidak memandang remeh kerana ia boleh disenarai semula sebagai kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Menerusi Belanjawan Selangor 2021, Kerajaan Negeri memperuntuk RM1 juta bagi meneruskan program TECC untuk membanteras penyalahgunaan dadah secara menyeluruh di 13 lokasi.

Sehingga November tahun ini, terdapat 5,380 penagih di Selangor, 60 peratus di daerah Petaling membabitkan 1,148 orang.

Usia antara 19 hingga 39 tahun merekod angka tertinggi terlibat dalam penagihan sama ada menjadi penagih atau penghantar bahan terlarang itu.

Dadah yang kerap digunakan ialah syabu, ganja, ekstasi dan heroin. Mengikut Dr Nazira, seseorang penagih lazimnya tidak mengambil satu dadah tetapi sekurang-kurangnya dua jenis dalam satu masa.

“Kita boleh katakan mereka pengguna pelbagai jenis dadah atau disebut sebagai ‘poly-drug users’. Majoritinya menggunakan dadah sintetik kerana lebih mudah didapati,” kata Dr Nazira.

Tingkah laku berubah

Biasanya, penagih tidak mampu menyorokkan kegiatan mereka dalam tempoh enam bulan hingga setahun kerana berlaku perubahan pemikiran dan tingkah laku yang boleh dikesan orang lain termasuk ibu bapa.

Dadah mudah diperoleh pada harga sekitar RM150 untuk satu gram syabu. Namun, transaksi penjualan sukar dikesan kerana menggunakan laman sosial di samping penghantaran melalui bungkusan kecil.

Namun, Dr Nazira yakin tahap kesedaran dan kerjasama penduduk semakin meningkat di kawasan program TECC.

Ia hasil sokongan dan peranan Ikon AADK Selangor terdiri daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar, nazir masjid dan pengerusi persatuan penjaja yang kerap menjalankan program bersama masyarakat.

Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor turut bekerjasama dengan AADK negeri menerusi kempen kesedaran dan program turun padang.

Setiausaha Kehormatnya, Daing Muhammad Reduan Bachok berkata Pemadam juga merangka program sesuai bagi menjayakan TECC seperti dihasratkan Kerajaan Negeri.

“Kita akan buat (perincian) program akhir bulan ini bersama AADK. Penguatkuasaan melibatkan AADK manakala Pemadam memberikan pendidikan pencegahan dadah menerusi kempen,” katanya.

13 kawasan tumpuan adalah:

  • Pangsapuri Desa Mentari
  • Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang
  • Pangsapuri Seri Perantau
  • Kampung Nakhoda
  • Kampung Gombak Utara
  • Kajang Utama
  • Bandar Rinching
  • Taman Impian Ehsan
  • Kampung Pandan Dalam
  • Pangsapuri Pandan Indah
  • Kampung Seri Jugra
  • Kampung Sijangkang
  • Kampung Bukit Changgang

Pengarang :