ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli menyambut ketibaan EXCO pembangunan luar bandar Borhan Aman Shah bersama rombongan Kelab Motor Klasik ke Kampung Asahan, Kuala Selangor pada 25 Disember 2020. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN: Tanah kosong dikenal pasti bina balai raya Kampung Asahan

SHAH ALAM, 27 DIS: Kawasan tanah kosong sedang dikenal pasti bagi pembinaan sebuah balai raya di Kampung Asahan, Kuala Selangor untuk kegunaan masyarakat setempat.

Ahli dewan negeri Bukit Melawati berkata setakat ini tiada tanah kerajaan di kawasan kampung berkenaan selain milik Sime Darby Plantation Berhad (SDP) atau wakaf.

“Saya pernah angkat cadangan tanah Sime Darby (untuk dijadikan balai raya) kepada Dato’ Menteri Besar sejak hujung 2018 untuk dipertimbangkan namun belum ada keputusan.

“Bagaimanapun, kita diminta supaya kaji dan teroka lagi kalau ada tanah lain yang sesuai. Saya rasa sangat perlu (pembinaan balai raya) dan akan terus perjuangkan,” kata Juwairiya Zulkifli kepada SelangorKini.

Kelmarin, beliau meraikan kedatangan EXCO pembangunan luar bandar merangkap wakil rakyat Tanjung Sepat Borhan Aman Shah yang berkunjung ke kampung terbabit.

Sementara itu, Juwairiya berkata balai raya sedia ada yang terdapat di kampung itu dibina atas tanah milik persendirian ketika pemerintahan terdahulu.

Beliau menjelaskan pemilik tanah terbabit tidak membenarkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Asahan menggunakan kemudahan bangunan tersebut.

“Perkara ini terjadi ketika pemerintahan lama menyebabkan kerugian kepada Kerajaan Negeri dan permasalahan kepada pengurusan hari ini,” katanya.

 


Pengarang :