Selangorkini
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Foto Facebook Istana Negara
AGENDA NASIONAL

Hari Keputeraan ke-75 Sultan Selangor: Agong dahului senarai penerima darjah, bintang

SHAH ALAM, 11 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendahului senarai 180 penerima Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan ke-75 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda dikurnia Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K) manakala Ahli Dewan di-Raja Selangor merangkap Canselor Universiti Selangor (Unisel) Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj menerima Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Kedua (D.K.II).

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain pula dianugerahkan Darjah Kelas Pertama iaitu Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) yang membawa gelaran ‘Dato’ Seri’.

Sultan Sharafuddin juga berkenan menganugerahkan S.P.M.S kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sementara itu, Darjah Kebesaran Dato’ Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S) yang membawa gelaran Dato’ Setia bagi lelaki dan Datin Paduka Setia (wanita) dianugerahkan kepada Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Prof Adjung Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia Datuk Dr Habibah Abdul Rahim.

Seramai 11 individu dikurnia Darjah Kebesaran-Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) yang membawa gelaran ‘Dato’ bagi lelaki dan ‘Datin Paduka’ (wanita).

Mereka ialah Ketua Perkhidmatan Geriatrik Selangor Tunku Dato’ Dr Muzafar Shah Tunku Jaafar; Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya Gunalan A/L Muniandy; Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Dr Choo Kah Sing; Asisten Ketua Staf Mejar Jeneral Hashim Aman Shah dan Panglima 11 Briged Markas 11 Briged Brigedier Jeneral Norsham Md Tap.

Selain itu, Ketua Polis Selangor Dato’ Noor Azam Jamaludin; Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman; Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling Johary Anuar; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Shahzihan Ahmad; Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Azali Mohamed dan Dekan Fakulti Pertanian UPM Prof Dr Abdul Shukor Juraimi.

Inspektor Jeneral, Markas Angkatan Tentera Malaysia-Inspektorat Jeneral Laksamana Muda Anuar Mohamed; Panglima Pendidikan dan Latihan, Markas Pendidikan dan Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Khalid Jaafar serta Ketua Pengarah Tadbir dan Logistik, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat antara 16 individu menerima Darjah Kebesaran Dato’-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) yang membawa gelaran ‘Dato’ bagi lelaki dan ‘Datin Paduka’ (wanita).

Penerima lain ialah Panglima Grup Artileri Pertahanan Udara Brigedier Jeneral Zainal Mohd Noor; Ketua Jabatan dan Pakar Pergigian Poliklinik Pakar Pergigian, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur Brigedier Jeneral Dr Zulkifli Zainal Abidin; Panglima 10 Briged (PARA), Markas Tentera Darat Brigedier Jeneral Semaon Marjuki; Ketua Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Kontinjen Selangor Abdul Basir Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Operasi) Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia Dato’ Dr Mohd Puat Dahalan dan Dato’ Pengelola Bijaya Diraja kepada DYMM Sultan Selangor Sawaluddin Md Nor.

Darjah kebesaran sama turut dianugerahkan kepada Ketua Jabatan Perubatan dan Pakar Perunding Perubatan Hospital Sungai Buloh Dr Suresh Kumar A/L Chidambaran; Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan, Jabatan Anaestesiologi dan Rawatan Rapi Hospital Sungai Buloh Dr Shaiful Azman Zakaria; Pegawai Kesihatan, Pejabat Kesihtan Daerah Petaling Dr Mohamed Paid Yusof; Ketua Pegawai Ortopedik, Pusat Perubatan Subang Jaya Dr Siva Kumar A/L N. Ariaretnam.

Tiga lagi penerima ialah Yang Dipertua Gabungan Profesional dan Usahawan Bumiputera Anak Selangor Dr Muhammad Arif Mohd Hashim; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Mastura Muhamad dan Ketua Pentadbiran Akademik dan Antarabangsa UPM Rosdi Wah.

Sementara itu, seramai 147 individu menerima darjah dan bintang kebesaran yang tidak membawa gelaran iaitu Setia Mahkota Selangor (30), Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (29), Ahli Mahkota Selangor (38), Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (40) dan Bintang Perkhidmatan Cemerlang (10).

Baginda juga berkenan mengurniakan pingat-pingat kebesaran negeri iaitu Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T), Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C), Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) dan Pingat Perkhidmatan Selangor (P.P.S) kepada anggota tentera, polis, bomba, kakitangan hospital serta petugas barisan hadapan yang terlibat dan bertugas di Selangor.

Pengurniaan pingat tersebut sebagai menghargai jasa, pengorbanan dan kecemerlangan petugas barisan hadapan dalam memerangi penularan pandemik Covid-19 sejak Mac lalu.


Pengarang :