Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) berkenan menerima menghadap Dr Abdul Rahman Mohammed Al Owais di Emirates Palace, Abu Dhabi pada 23 Disember 2020. Foto Facebook Istana Negara
AGENDA NASIONAL

Agong, menteri kesihatan UAE bincang sumbangan vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Menteri Kesihatan dan Prevensi Emiriah Arab Bersatu (UAE) Dr Abdul Rahman Mohammed Al Owais di Emirates Palace, Abu Dhabi pada Rabu.

Sesi menghadap itu adalah satu daripada acara lawatan khas lima hari Al-Sultan Abdullah ke Abu Dhabi, UAE.

Pertemuan itu antara lain membincangkan hasrat kerajaan UAE untuk menyumbang vaksin Covid-19 kepada Malaysia antaranya bertujuan untuk kajian klinikal di negara ini.

“Al Sultan Abdullah menzahirkan setinggi penghargaan kepada Dr Abdul Rahman dan kerajaan UAE atas hasrat itu,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Fadil berkata bagaimanapun, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa beberapa proses perlu diambil kira bagi mengetahui kebolehlaksanaan kajian klinikal di Malaysia.

“…khususnya menerusi Pusat Penyelidikan Klinikal, Institut Penyelidikan Klinikal dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara sebelum sebarang vaksin diterima masuk ke Malaysia,” katanya.

Ahmad Fadil berkata hasrat sumbangan vaksin Covid-19 dan lawatan khas itu mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh dan erat terjalin antara kedua-dua negara.

Ia juga menunjukkan Malaysia dan UAE bersama berganding bahu dalam usaha memerangi Covid-19 serta kerjasama pemulihan pascawabak.

Dalam lawatan itu, Al-Sultan Abdullah juga berkenan melakukan kunjungan mesra terhadap Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan di kediaman rasminya pada 22 Disember.

Lawatan khas itu adalah atas jemputan Sheikh Mohamed dan Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat pulang ke tanah air pada Jumaat (25 Disember).

-BERNAMA


Pengarang :