AGENDANASIONAL

Agong, Permaisuri sumbang makanan kepada petugas PKRC Pahang

KUANTAN, 12 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengurniakan sumbangan makanan kepada petugas Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), hari ini.

Sumbangan itu disampaikan menerusi Juruiring Tentera Darat Seri Paduka Brig Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin, Pegawai Khas Sultan Pahang Tok Aria Rakna Ahmad Nurbadelin Abdul Murad dan Pegawai Khas (Kebajikan) Sultan Pahang Datuk Abdul Rahman Endut.

Selain polis dan petugas kesihatan, turut bertugas di PKRC itu ialah bomba, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Sukpa yang terletak di Indera Mahkota diaktifkan sebagai PKRC sejak Khamis lepas, bagi menempatkan pesakit Covid-19 warga asing berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus, ekoran pertambahan kes daripada kluster Jalan Genting di Bentong, kira-kira 170 kilometer dari sini.

Pembukaan PKRC itu bagi memastikan perkhidmatan hospital kerajaan di Pahang tidak terjejas dengan peningkatan kes positif Covid-19 dan setakat semalam, seramai 131 pesakit dipindahkan ke situ bagi rawatan.

Pengarah MKN Pahang Mohd Zairasyahli Shah Zakaria sebelum ini, memberi jaminan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang dengan pembukaan PKRC Sukpa kerana ia dikawal ketat 24 jam oleh pasukan keselamatan selain dipasang kawat duri sepanjang 354 meter bagi mengelakkan pesakit melarikan diri.

-BERNAMA


Pengarang :