Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Tun Rahah

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Tun Rahah Mohamed Noah yang telah kembali ke rahmatullah petang tadi.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah yang merupakan balu kepada Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein dan berharap seluruh keluarga Rahah sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut satu kenyataan menerusi Instagram Istana Negara hari ini.

Allahyarhamah, yang juga ibu kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, meninggal dunia ketika dalam rawatan di sebuah hospital swasta di sini.

Al-Sultan Abdullah berkesempatan berangkat menziarahi Allahyarhamah di hospital tersebut semalam.

Rahah, 87, berkahwin dengan Abduk Razak pada 4 September 1952 dan dikurniakan lima anak lelaki iaitu Najib, Datuk Seri Mohamed Nazir, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam serta Datuk Mohamed Nazim.

– BERNAMA


Pengarang :