Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada pagi 26 Disember 2020. Foto: Facebook Istana Negara
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong selamat pulang dari lawatan Abu Dhabi

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada pagi ini.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara, pesawat khas yang membawa Seri Paduka dan delegasi selamat mendarat pada 11 pagi.

Sejurus keberangkatan tiba, Al-Sultan Abdullah menjalani ujian saringan Covid-19 di Kompleks Bunga Raya, KLIA mengikut ketetapan tatacara operasi piawai oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Usai saringan Covid-19 di Kompleks Bunga Raya, Seri Paduka Baginda turut berkenan memakai gelang kuarantin dan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari seperti ditetapkan KKM. Foto: Facebook Istana Negara

“Selepas menjalani ujian saringan Covid-19 di Kompleks Bunga Raya, Seri Paduka Baginda turut berkenan memakai gelang kuarantin dan akan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari,” demikian menurut kenyataan itu.

Anggota delegasi Seri Paduka pula akan menjalani kuarantin diri di lokasi ditetapkan oleh KKM.

Terdahulu, sebelum berangkat pulang ke tanah air, Seri Paduka turut menjalani ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi.

Lawatan khas selama lima hari Seri Paduka ke Abu Dhabi yang berakhir semalam adalah atas jemputan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

– BERNAMA


Pengarang :