Datuk Seri Ahmad Maslan (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal isytihar RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada LHDN dan memberi pernyataan palsu kepada SPRM pada 21 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ahmad Maslan gagal lagi gugur pertuduhan isytihar RM2 juta

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan gagal kali ketiga untuk menggugurkan dua pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini berikutan Jabatan Peguam Negara menolak permohonan representasi kali ketiga yang dikemukakan Ahmad berhubung kedua-dua pertuduhan yang dihadapinya.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria semasa pengurusan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Kamar Jamaludin.

“Pihak pendakwaan telah diserahkan dengan representasi kali ketiga dan representasi tersebut telah ditaklimatkan kepada Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) dan telah ditolak pada 5 Oktober lepas,” katanya.

Dalam prosiding itu juga, pendakwaan memohon tarikh bicara baharu ditetapkan berikutan timbalan pendakwa raya dan pegawai penyiasat kes tersebut telah dikuarantin kerana mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

“Sepatutnya tarikh bicara seterusnya pada 24 Disember ini. Sehubungan itu, pihak-pihak memohon satu tarikh perbicaraan baharu, dan perbicaraan ini melibatkan 10 saksi pendakwaan,” katanya.

Peguam Mohamed Baharudin Mohd Ariff yang mewakili Ahmad, 54, berkata pihaknya mempunyai kelapangan pada bulan Julai tahun depan memandangkan dari Januari hingga Mei pihaknya mempunyai kes-kes lain di Mahkamah Tinggi dan di mahkamah Shah Alam.

Pihak pendakwaan memaklumkan pihaknya berkelapangan dari Februari hingga Mei 2021 namun pihak pembelaan tidak berkelapangan antara bulan tersebut.

Hakim Ahmad Kamar menetapkan tarikh perbicaraan pada 5 hingga 8; 12 hingga 15 dan 26 hingga 29 Julai tahun depan.

Ahmad didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau dituduh telah menerima wang tersebut, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad pada hari sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 30 April 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa telah memberi pernyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang dan 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA


Pengarang :