Air Selangor mengagihkan sumbangan komputer riba serta pelan data internet percuma kepada anak-anak warga kerja Air Selangor pada 17 Disember 2020. Foto Facebook Air Selangor
AGENSI SELANGOR

Air Selangor sumbang komputer riba, pelan internet kepada 75 anak staf

SHAH ALAM, 18 DIS: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengagihkan sumbangan komputer riba dan pelan data internet percuma kepada anak-anak warga kerjanya semalam.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Elina Baseri berkata sumbangan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sesama Mara itu bagi membantu melancarkan sesi persekolahan 2021 dalam situasi pandemik Covid-19.

“Inisiatif julung kalinya dianjurkan ini diharap dapat membantu 75 anak-anak kepada 40 warga kerja golongan berpendapatan rendah dalam proses pembelajaran di rumah secara dalam talian yang sudah menjadi norma baharu.

“Sumbangan ini antara usaha untuk meringankan bebanan mereka yang mempunyai anak-anak yang sedang mengikuti pembelajaran secara dalam talian di rumah,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Elina, program Sesama Mara merupakan inisiatif mengukuhkan hubungan Air Selangor bersama komuniti setempat, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai program-program Sesama Mara, boleh layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.


Pengarang :