Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) menahan pengunjung pusat hiburan yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP) di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 12 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Aktiviti pusat hiburan catat angka tertinggi ingkar PKP

SHAH ALAM, 20 DIS: Kesalahan terlibat aktiviti pusat hiburan mencatat angka tertinggi ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 442 ditahan atas kesalahan itu.

Menurutnya, mereka sebahagian daripada 672 individu ditahan kerana mengingkari arahan PKP, dengan 643 dikompaun dan 29 direman.

“Seramai 90 individu ditahan tidak memakai pelitup muka, gagal mematuhi penjarakan fizikal (78), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (73) dan lain-lain (25),” katanya dalam kenyataan.

Mengenai tugas pencegahan operasi pematuhan, Ismail Sabri berkata sebanyak 45,483 pemeriksaan dijalankan bagi memantau tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Sebanyak 2,368 pasukan pematuhan membabitkan 10,582 anggota membuat pemantauan di 3,482 pasar raya, restoran (4,814), penjaja (1,572), kilang (1,238), bank (3,124) dan pejabat kerajaan (699).

“Pemeriksaan turut dilakukan di 941 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (235) dan terminal pengangkutan udara (84),” katanya.


Pengarang :