Selangorkini
Penduduk sekitar Klang hadir menjalani saringan Covid-19 percuma secara bersasar di Jalan Batu Unjur 3A, Taman Bayu Perdana, Klang pada 23 Disember 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Ambil langkah berjaga-jaga, ibu bawa tiga anak jalani saringan

KLANG, 24 DIS: Seorang ibu dari Kampung Rantau Panjang di sini membawa tiga anaknya termasuk seorang bayi lelaki tujuh bulan menjalani saringan Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga.

Nur Salina Ramli, 37, berkata ia berikutan sebahagian ahli keluarga terdekatnya disahkan positif wabak tersebut dan kini menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh.

“Walaupun tidak mengalami sebarang simptom jangkitan tetapi saya rasa ia penting bagi memutuskan rantaian wabak. Alhamdulillah, saringan ke atas Nur Dayana Batrisya Muhammad, 13, dan Nur Sabrina Aqilah Muhammad, 10, serta Idris Farish Muhammad berjalan lancar,” katanya ketika ditemui pada program Saringan Komuniti Covid-19 Bersasar di Jalan Batu Unjur 3A, Taman Bayu Perdana di sini semalam.

Sementara itu, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, Nurhaszlin Rabiatul Syadiyah Rosli, 22, menyifatkan program saringan percuma memberi peluang kepada lebih ramai individu merasai pengalaman ujian calitan sekali gus mengesan jangkitan wabak.

“Sebelum ini saya pernah buat ujian Covid-19 tetapi kaedah digunakan petugas kesihatan kali ini berbeza iaitu pengambilan sampel melalui rongga hidung yang dikenali sebagai kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

“Terima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana menyediakan perkhidmatan ini. Ia mampu menjimatkan kos golongan memerlukan seperti warga emas dan pelajar,” katanya yang menetap di Shah Alam.

Bagi pekerja swasta, Fong Jun Ren, 28, majikan mengarahkan dia dan seluruh kakitangan menjalani saringan Covid-19 memandangkan lokasi program terbabit terletak berhampiran pejabat.

“Pelepasan diberikan kepada semua petugas secara berperingkat bermula jam 10 pagi dan saya bersyukur kerana ujian ini tidak dikenakan bayaran,” katanya.

Terdahulu, seramai 915 individu menjalani saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Klinik Selcare dari 9 pagi hingga 4 petang.

Penduduk yang hadir perlu mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan menyukat suhu badan.


Pengarang :