Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Majlis Peluncuran Buku 100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008-2011 di Institut Darul Ehsan, Shah Alam pada 29 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar harap kelompok kaya ada ‘rasa cinta’ bantu rakyat miskin

SHAH ALAM, 29 DIS: Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap pihak yang meraih keuntungan berganda di sebalik penularan Covid-19 membantu golongan memerlukan ketika ini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat berkata kekayaan tersebut tidak mampu dikecapi tanpa keamanan, politik stabil dan komitmen penjawat awam serta pekerja bawahan.

Menurutnya, pandemik itu menjadikan jurang kaya dan miskin jauh melebar namun ia juga tidak memiskinkan rakyat berikutan ada kelompok kecil bertambah mewah.

“Pihak yang memonopoli industri seperti getah mencatat kekayaan melambung. Jadi saya harap ada rasa cinta dari hati nurani untuk berbuat lebih kepada rakyat,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Buku 100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008-2011 di sini.

Pada 14 Ogos, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata ekonomi Malaysia menguncup 17.1 peratus dalam suku kedua 2020, terburuk sejak 1998.

Capaian itu berikutan pelaksanaan perintah kawalan bagi membendung penularan Covid-19 sekali gus menyaksikan ekonomi hampir tidak bergerak.

Bagaimanapun, Bank Dunia menjangka ekonomi Malaysia berada pada landasan pemulihan bermula akhir tahun ini dan kembali kepada pertumbuhan pada 2021.

 


Pengarang :