Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang Dewan Rakyat membahaskan Belanjawan 2021. Foto: Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Anwar: Kerajaan tiada upaya bangkit atasi masalah ekonomi

SHAH ALAM, 15 DIS: Kerajaan tidak berupaya untuk menjalankan tanggungjawab berkesan ketika negara memerlukan anjakan ekonomi susulan pandemik Covid-19.

Ketua pembangkang berkata walaupun Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini namun perkara itu tidak menambah keyakinan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kelemahan dalam butir belanjawan menyebabkan ahli parlimen pembangkang sebulat suara membantah Rang Undang-Undang (RUU) perbekalan itu.

“Kerajaan PN akan terus berdepan dengan masalah keyakinan dan ini dibuktikan hari ini apabila ia hanya berjaya mempunyai tidak lebih dari 112 sokongan.

“Kerajaan lemah seperti ini akan terus tunduk kepada watak-watak rakus yang berkepentingan dan kebajikan rakyat akan terus dikorbankan,” katanya menerusi kenyataan.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata Belanjawan 2021 mencerminkan kerajaan PN hanya mengutamakan hayat politik mereka lebih daripada kebajikan hidup rakyat.

Beliau juga kesal berikutan beberapa ahli parlimen mengundi menyokong belanjawan tersebut meskipun sebelum ini mereka menyuarakan kebimbangan terhadap isu simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), peruntukan besar kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dan dana untuk peniaga.

“Oleh kerana kerajaan PN mengaitkan kononnya gaji dan prestasi penjawat awam akan terkesan sekiranya belanjawan tidak diluluskan maka terdapat sejumlah ahli parlimen memilih untuk mendukung belanjawan tersebut.

“…dan sebagai solidariti ke atas jutaan penjawat awam yang turut terkesan di era ekonomi pandemik ini meski belum tentu mereka bersetuju dengan kerajaan PN,” katanya.

Mengulas lanjut, ahli parlimen Port Dickson berkata kelemahan tatakelola dan prestasi pengurusan kewangan memberi kesan terhadap usaha menarik pelabur.

Katanya penurunan penarafan Malaysia oleh Fitch Ratings baru-baru ini juga menunjukkan lemahnya prestasi pengurusan ekonomi dan tahap tatakelola negara.

“Kita sedang kembali ke era gelap di mana kerajaan akan terus menginjak prinsip ketelusan, tatakelola yang baik dan pengurusan dana yang cekap.

“Keyakinan daripada pelabur akan turut terkesan, dan berkemungkinan negara-negara serantau akan meninggalkan kita dalam pelbagai lapangan terutama sektor ekonomi dan pembangunan,” katanya.

Terdahulu, bacaan ketiga Belanjawan 2021 lulus dengan undian belah bahagi menyaksikan 111 setuju, 108 tidak setuju manakala seorang tidak hadir.

 


Pengarang :