Pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu memindahkan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat pada 4 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

APM sasar 20,000 sukarelawan baharu, tingkat upaya hadapi bencana

ALOR GAJAH, 6 DIS: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyasarkan pengambilan 20,000 anggota sukarelawan baharu pada tahun depan dalam usaha meningkatkan keupayaan agensi itu untuk menghadapi bencana.

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab berkata pengambilan anggota baharu itu difokuskan kepada komuniti di kawasan kerap berlaku bencana supaya mereka dapat memberi bantuan awal sekiranya berlaku kecemasan sebelum bantuan susulan daripada pelbagai agensi keselamatan lain tiba.

“Bagi pengambilan anggota baharu tahun depan, kami akan memfokuskan kepada komuniti di kawasan berisiko termasuk banjir, tanah runtuh atau ribut dan melatih mereka bagi memastikan anggota baharu ini bersedia untuk berhadapan pelbagai kecemasan di kawasan tempat tinggal mereka.

“Ini kerana kebiasaannya mereka akan lebih tahu apa yang berlaku di tempat asal mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pejabat Daerah Pertahanan Awam Alor Gajah, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Effendy Ali.

Mengulas lanjut, Roslan berkata orang ramai yang berminat untuk menyertai pasukan sukarelawan APM bagi pengambilan baharu tahun depan boleh melayari laman web APM iaitu www.civildefence.gov.my atau hadir ke pejabat APM yang berdekatan.

Sementara itu, beliau berkata APM menerima peruntukan RM25 juta bagi menggantikan ambulans agensi itu yang uzur secara berperingkat bermula tahun depan.

Katanya, buat permulaan RM5 juta akan dibelanjakan untuk membeli 20 ambulans baharu, manakala RM10 juta masing-masing untuk tujuan sama pada tahun 2022 dan 2023.

-BERNAMA

 


Pengarang :