BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Asal-usul Kesultanan Selangor

Sempena Hari Keputeraan ke-75 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember 2020

OLEH ALIFF FIKRI

Pembentukan Kesultanan Selangor pada kurun ke-18 bermula dari susur galur Raja Lumu, anak kepada Daeng Celak.

Beliau antara pahlawan Bugis Lima Bersaudara berasal dari Sulawesi Selatan. Daeng Celak datang ke Kuala Selangor untuk menjaga ketenteraman wilayah itu.

Mendirikan kerajaan

Mengikut portal kualaselangor.my, Raja Lumu, lahir pada 1705, membebaskan Selangor dan membentuk kerajaan sendiri. Beliau ditabal sebagai sultan pertama pada 1756 menggunakan gelaran Sultan Salehuddin Shah.

Disebabkan kerajaan Perak waris Kesultanan Melayu Melaka, Raja Lumu perlu mendapat restu Sultan Mahmud II. Selepas memperoleh persetujuan, perjanjian dimeterai antara kedua-dua pihak.

Perjanjian itu dibuat depan al-Quran dan keris kebesaran masing-masing. Raja Lumu kemudian dianugerahi gelaran sultan bersama peralatan nobat.

Mengikut Misa Melayu, pengiktirafan itu melibatkan pengurniaan cap mohor. Pertabalan penuh dilakukan di Pulau Pangkor pada 1756. Baginda kemudian bersemayam di Bukit Selangor, kini Bukit Malawati.

Peristiwa ini menandakan Raja Lumu menjadi pemerintah yang bebas sepenuhnya. Selangor menjadi negeri Melayu berdaulat seperti negeri-negeri lain.

Sebenarnya, pertabalan Raja Lumu memang dibayangkan Daeng Celak sebelum meninggal dunia pada 1745. Bahkan, beliau menamakan anak sulungnya itu sebagai pemerintah Selangor pada masa depan.

Namun disebabkan Raja Lumu masih kecil, pentadbiran ketika itu dijalankan bersama Daeng Lakani, Raja Said dan pembesar lain.

Setelah dewasa, Raja Lumu datang ke Selangor dan dilantik sebagai Yang Dipertuan Besar Selangor pada 1743. Akhirnya beliau membebaskan Selangor dari penguasaan Johor-Riau.

Asal-usul

Mengikut buku Kesultanan Melayu Selangor, negeri ini didiami manusia sejak zaman prasejarah berdasarkan penemuan tiga keping alat besi yang dipanggil tulang mawas. Ia digunakan manusia purba di Batang Berjuntai.

Pada 1905 dan 1944, gendang dan loceng gangsa ditemui di Bukit Kuda, Klang. Pada 1964, alat sama ditemui di Kampung Sungai Lang, Kuala Langat. Penemuan itu membuktikan negeri ini didiami sejak 2,000 tahun lalu.

Nama Selangor dikatakan bermula daripada Kuala Selangor, sebuah pekan di pinggir Sungai Selangor. Selangor juga ada disebut dalam Sejarah Melayu ketika pemerintah Singapura Paduka Seri Maharaja dikunjungi Tun Jana Khatib.

Namun, ahli sejarah Inggeris bernama Thomas Newbold (1839) berpendapat nama Selangor berasal daripada perkataan Calang (Kalang). Jabatan Peta British Muzium London ada tertulis dengan nama ‘Callangor’.

Dipercayai digunakan sejak abad ke-14, ada menyebutnya sebagai ‘Calagore, Salngor, Selimgor, Salangor, Selengor, Solongor, Sorlongor, Sarlangar, Chalangor dan Charanguror.

Ada banyak versi asal-usul nama itu. Berdasarkan versi nama ‘Sarahangor’ berpandukan catatan pada 1516, Barbosa, seorang Portugis, menulis Sara Hangor berasal daripada sarang helang. Barangkali, waktu itu helang banyak di pinggir Sungai Selangor.

Sistem kesultanan

Sistem Kesultanan Selangor berasaskan Adat Temenggong iaitu dipilih daripada anak gehara (bapa dan ibu berdarah raja) atau bukan. Waris takhta adalah Raja Muda daripada putera sultan yang tua.

Jika tidak layak, takhta akan diwarisi kepada putera kedua atau mengikut susunan. Jawatan diwarisi putera sulung jika Raja Muda mangkat sebelum menaiki takhta. Jika Raja Muda tiada anak, jawatan itu disandang putera kedua sultan.

Jika sultan atau pembesar berasa putera kedua tidak layak, pewaris dipilih daripada adindanya seterusnya mengikut susunan dari kalangan anak lelaki. Pelantikan mesti dibuat sebelum pengebumian sultan.

Peruntukan Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 menjelaskan, syarat-syarat untuk menjadi sultan adalah mesti seorang Melayu, berdarah raja, berketurunan Sultan Selangor, lelaki dan beragama Islam. Begitu juga syarat-syarat untuk pengganti ataupun waris.

Salasilah Kesultanan

Sultan Salehuddin Shah @ Raja Lumu (1756-1778)
– Anak sulung Daeng Celak, pahlawan Bugis Lima Bersaudara
– Bebaskan Selangor dari penguasaan Johor-Riau

Sultan Ibrahim Shah (1782-1826)
– Anak sulung Raja Lumu
– Memerintah selama 48 tahun

Sultan Muhammad Shah (1826-1857)
– Anak Sultan Ibrahim Shah
– Mangkat mengejut pada 1857

Sultan Abdul Samad (1857-1898)
– Menantu Sultan Muhammad
– Mangkat pada usia 93 tahun. Dimakam di Kuala Jugra

Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah (1898-1938)
– Cucunda Sultan Abdul Samad
– Makam baginda dikenali sebagai Marhum Atiqullah

Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj (1938-1942 dan 1945-1960)
– Jepun tidak mengiktiraf baginda dan diganti dengan kekandanya
Tengku Musa Uddin dengan gelaran Sultan Musa Ghiathuddin Shah
– Dimasyhur kembali selepas Jepun kalah. Mangkat empat bulan selepas
dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kedua pada 1960

Sultan Musa Ghiathuddin Shah Alhaj (1942-1945)
– Putera sulung Sultan Sir Alaeddin
– Mangkat di Kuala Lumpur. Dimakam di Makam Diraja Klang

Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj (1960-2001)
– Putera Sultan Sir Hishamuddin
– Mangkat ketika menjadi Yang Dipertua Agong ke-11

Sultan Sharafuddin Idris Shah (2001-hingga kini)
– Putera sulung Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj
– Raja Muda paling muda ketika dimasyhurkan pada 1960.
Baginda berusia 15 tahun ketika itu
– Dikurnia dua puteri iaitu Tengku Zerafina dan Tengku Zatashah serta
seorang putera, Tengku Amir Shah

Sumber: Facebook Selangor Royal Office


Pengarang :