Sebahagian penduduk terpaksa meredah air menggunakan kenderaan berikutan limpahan air Sungai Golok di sekitar Pekan Rantau Panjang ketika tinjauan pada 20 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir di Kelantan, Terengganu semakin pulih, jumlah mangsa berkurangan

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Situasi banjir di pantai timur Semenanjung semakin pulih petang ini apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan kepada 1,748 orang berbanding lebih 2,000 orang pagi tadi.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 837 orang daripada 215 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 1,218 orang daripada 321 keluarga pada 8 pagi tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata sebanyak 10 PPS ditutup secara berperingkat sejak pagi tadi menjadikan jumlah PPS yang masih dibuka hanya lapan di Dungun dan tiga di Kemaman.

“Di Kemaman, situasi banjir bertambah baik dengan mangsa berkurangan kepada 657 orang daripada 160 keluarga berbanding 766 orang daripada 197 keluarga manakala di Dungun pula, mangsa berkurangan kepada 180 orang daripada 55 keluarga berbanding 452 orang daripada 124 keluarga pagi tadi,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal http://infobanjir.water.gov.my pula melaporkan tiada lagi sungai yang melepasi paras bahaya setakat 4 petang ini.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 911 orang merangkumi 342 keluarga berbanding 1,094 mangsa pada sebelah pagi tadi dan mereka ditempatkan di 11 PPS, kesemuanya di Pasir Mas.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, daripada jumlah itu seramai 134 mangsa daripada 45 keluarga ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kual, SK Tok Deh (118), Putat Tujoh (42), SK Gual Tinggi (154), SK Kg Rahmat (14) dan SK Sri Rantau Panjang 2 (201).

PPS di Dewan Rukun Tetangga Lubuk Stol (7), SK Sri Kiambang (33), SK Bakong (85), SK Kedai Tanjong (110), dan Sekolah Menengah Agama (Arab) Kg Bongor menempatkan 13 mangsa.

Sementara itu, dua PPS iaitu masing-masing di Tanah Merah dan Kuala Krai telah ditutup sepenuhnya.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat 5 petang ini Sungai Golok di Rantau Panjang kekal mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 10.12 meter (m) (bahaya 9 m), manakala Sungai Golok di Kampung Jambu, Tumpat merekodkan bacaan melepasi paras amaran iaitu 2.48 m (amaran 2.15 m).

– BERNAMA


Pengarang :