Mangsa banjir, Rozaiman Ibrahim, 34, (kanan) bersama isterinya Nor Ellham Mohamed, 31 (kiri), dan anak mereka, Aira Qhhaisara, 1, tengah) duduk di hadapan rumah ibu mereka yang dilanda banjir ketika tinjauan di Kampung Banggol, pada 4 Disember 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir di Kelantan, Terengganu semakin pulih

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Keadaan banjir yang melanda pantai timur Semenanjung semakin pulih dengan penurunan bilangan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Pasir Mas semakin berkurangan kepada 37 orang sehingga 8 pagi ini berbanding 44 orang semalam.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Mas Azizan Aziz berkata mangsa daripada lapan keluarga termasuk masing-masing seorang bayi lelaki dan perempuan ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Tok Deh, Pasir Mas.

“Semua mangsa masih di PPS berikutan banjir belum pulih yang berkemungkinan disebabkan air ‘termenung’ di penempatan mereka dan kita berharap cuaca semakin baik agar mangsa dapat pulang ke kediaman masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang Imran Ismail berkata paras Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan 8.81 meter (m) iaitu melepasi paras amaran 8 m dengan trend menurun setakat pukul 8 pagi ini.

Katanya, trend paras air Sungai Golok di Rantau Panjang dilihat semakin menurun berbanding paras bahaya iaitu 9.23 m (bahaya 9 m) pada petang semalam memandangkan tiada hujan sejak Jumaat lepas.

“Paras air Sungai Golok bergantung kepada taburan hujan dan aliran hulu sungai Golok, jika kedua-duanya tidak menunjukkan peningkatan yang ketara ianya memberi kesan kepada penurunan paras sungai di sini yang membolehkan keadaan bertambah baik.

“Malah, hasil tinjauan oleh pihak kami semalam juga mendapati, hanya beberapa kawasan penempatan yang rendah sahaja masih digenangi air seperti di Kampung Gual Tok Deh, Kampung Pengkalan Rakit dan Kampung Padang Licin, di sini,” katanya ketika dihubungi.

Cuaca di Kelantan keseluruhan cerah tanpa hujan pada pagi ini.

Di TERENGGANU, hanya sembilan orang daripada empat keluarga kekal berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang, Marang, setakat 8 pagi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata kesemua mangsa itu masih berada di PPS kerana rumah mereka ditenggelami air berikutan fenomena banjir termenung.

“Bagaimanapun, sekiranya cuaca terus baik sepanjang hari, berkemungkinan air akan surut dan mereka akan dibenarkan pulang,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :