Kelihatan keadaan banjir di sekitar Kemaman yang dirakamkan dari udara pada 22 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir di Terengganu pulih sepenuhnya, PPS terakhir ditutup 1 tengah hari

KUALA TERENGGANU, 23 DIS: Banjir di Terengganu pulih sepenuhnya apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Dungun ditutup secara rasmi pada 1 tengah hari tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata kesemua 114 mangsa daripada 34 keluarga di dua PPS itu dibenarkan pulang setelah rumah mereka dipastikan selamat untuk diduduki.

“Walaupun semua PPS telah ditutup, semua agensi berkaitan bencana banjir masih dalam keadaan siap siaga dan penduduk di kawasan berisiko juga perlu peka dengan sebarang perubahan cuaca di persekitaran mereka,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, dua PPS terakhir di Kemaman juga ditutup secara rasmi pada 9.30 pagi tadi.

Banjir gelombang pertama di Terengganu bermula pada 17 hingga 19 Nov lepas manakala gelombang kedua bermula pada 23 Nov hingga 2 Dis.

Gelombang ketiga banjir bermula pada lewat malam 2 hingga 9 Dis lepas. Seminggu selepas itu, banjir gelombang keempat pula berlaku pada 17 Dis bermula di Kemaman dan tamat hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :