Penguat kuasa MBSA memberi amaran tegas kepada sekumpulan penduduk yang berbasikal di Setia Alam pada 30 Mac lalu. Foto ihsan MBSA
AGENDA NASIONAL

Berbasikal: Lebih 50 maut dalam kemalangan setakat Oktober

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 56 kematian daripada 137 kes kemalangan melibatkan penunggang basikal di negara ini bagi tempoh awal Januari hingga Oktober lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata selain daripada 56 kematian, 18 lagi cedera dan 63 cedera ringan.

Beliau berkata bagi tempoh sepanjang tahun lepas, JSPT merekodkan sejumlah 201 kes melibatkan 107 kematian, 35 cedera parah manakala 59 cedera ringan.

“Sejak kebelakangan ini aktiviti berbasikal di jalan raya menjadi satu trend baharu rakyat Malaysia sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dan mendatangkan bahaya kepada penunggang motosikal serta pengguna jalan raya yang lain.

Walaupun tiada larangan aktiviti berbasikal di jalan raya, JSPT menasihatkan penunggang basikal agar sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan demi menjamin keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azisman menegaskan aktiviti berbasikal di jalan raya boleh mengganggu kelancaran pergerakan lalu lintas kerana kenderaan lain turut menggunakan laluan sama setiap masa dan boleh mengundang risiko kemalangan.

“Pemandu kenderaan seperti lori, bas, kereta, motosikal dan seumpamanya turut diingatkan supaya bertimbang rasa dan lebih berhati-hati ke atas penunggang basikal kerana mereka ini amat terdedah kepada bahaya semasa berada di atas jalan raya.

JSPT turut menasihatkan mereka yang ingin menjalankan aktiviti berbasikal supaya memilih lokasi dan masa yang sesuai seperti di kawasan yang kurang kenderaan dan bukan di waktu puncak ketika pergi dan balik kerja,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pemilik perlu memastikan peralatan dan basikal yang akan digunakan hendaklah mempunyai ciri-ciri keselamatan termasuk menggunakan rak di bumbung sahaja pada kenderaan untuk mengangkut basikal.

Beliau berkata mana-mana orang yang melakukan kesalahan semasa menunggang basikal di atas jalan raya boleh diambil tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Antaranya Seksyen 54 (1) APJ 1987 iaitu menunggang secara melulu dan membahayakan, Seksyen 79(2) APJ 1987 mana-mana orang yang gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya adalah melakukan suatu kesalahan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :