Farleena Abd Rahman bersama suami Khairul Asri Abd Hamid menunjukkan produk keluaran Bidaralab
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Berkerusi roda sebelum raih RM1 juta, penawar bertukar rezeki

Foto ASRI SAPFIE

SELEPAS perniagaan pakaian di Kenanga Wholesale City (KWC) lingkup pada 2015 dengan kerugian mencecah RM50,000, pemiliknya Farleena Abd Rahman, 38, jatuh sakit pula.

Lebih empat bulan menderita. Badannya sakit-sakit. Jangankan berjalan, berdiri pun tidak larat. Ke sana ke sini suami Khairul Asri Abd Hamid, 39, membawanya berubat ke beberapa hospital dan klinik. Wang banyak habis tetapi keadaannya tetap sama. Jenis penyakit pun tidak diketahui.

Tanpa putus asa, mereka mencuba rawatan perubatan alternatif di Bangi pula. Mengejutkan kerana hanya lebih sebulan rawatan, Farleena beransur sembuh. Beliau tidak lagi menggunakan kerusi roda.

Mereka mendapat tahu rawatan dibuat menggunakan khasiat daun bidara, yang kemudian mencetuskan ilham kepada mereka untuk memasarkannya. Dalam tempoh enam bulan, jualan produk mereka hampir RM1 juta.

Khasiat bidara

Menyedari produk berasaskan daun bidara tidak banyak dalam pasaran, mereka dengan modal kurang RM2,000 untuk menjualnya dalam bentuk pelbagai produk kegunaan harian.

Antara produk keluaran Bidaralab yang dipasarkan dan mendapat permintaan ramai

Selepas memperoleh kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2016, produk mereka antaranya gel mandian, minyak pati bidara dan minyak aura, masuk ke pasaran atas jenama Bidaralab. Beberapa bulan kemudian, mereka menghasilkan pula produk lain iaitu jus bidara dan wangian Tuffah.

Tanpa diduga, produk mereka ‘meletup’ dalam pasaran dan tular di media sosial dalam tempoh empat bulan. Ini mendorong pasangan itu melantik stokis. Dalam enam bulan berjaya memperoleh jualan hampir RM1 juta serta kini memiliki sembilan stokis di seluruh negara.

Demi memastikan kelangsungan perniagaan, sebahagian besar keuntungan dilabur untuk pengiklanan bagi mengukuhkan jenama. Malah, mereka turut menyewa 29 papan iklan di lebuh raya termasuk Lebuh Raya Utara Selatan.

Buka pusat rawatan

Pada 2019, Farleena dan suami memberanikan diri mengembangkan perniagaan dengan membuka Pusat Rawatan Bekam Bidaralab.

Untuk itu, mereka membuat pinjaman RM50,000 daripada Hijrah Selangor bagi membiayai kos penjenamaan, mengubah suai pusat rawatan dan membeli peralatan khas lain termasuk mesin steril.

“Alhamdullilah, usaha kami dipermudahkan apabila diperkenalkan dengan Hijrah Selangor untuk mengembangkan lagi operasi perniagaan hingga mencapai tahap seperti hari ini.

“Kami menekankan pematuhan tatacara piawai operasi (SOP) dalam rawatan bekam kami. Setiap peralatan bekam disteril, jarum pula hanya sekali guna sahaja. Begitu juga prosedur lain,” katanya.

Botol disterilkan terlebih dahulu sebelum penghasilan produk 

Mengikut Farleena, mereka menerima purata lima pelanggan. Paling ramai lapan orang sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu. Bagaimanapun, ia berkurangan sejak PKP dilaksanakan.

Perkara itu bukan masalah besar kerana mereka tidak mengambil ramai pelanggan dalam satu hari bagi memastikan pelanggan mendapat rawatan sempurna. Ini kerana setiap rawatan memerlukan tumpuan khas dan mengambil masa sejam 30 minit.

Kini Pusat Rawatan Bidaralab mengembangkan sayap perniagaan kepada tiga cawangan iaitu Shah Alam, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Berikutan sambutan hangat pelanggan, Farleena dan Khairul Asri juga memasang impian untuk membuka 100 lagi pusat rawatan di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun.

“Walaupun buat masa ini rancangan membuka lebih bayak cawangan terpaksa ditangguhkan ke masa yang lebih sesuai berikutan keadaan ekonomi tidak berapa baik disebabkan wabak Covid-19 sekarang tetapi saya yakin, Insya-Allah boleh berjaya,” kata Khairul Asri.


Pengarang :