BERITA UTAMASELANGOR

Bilangan kes denggi di Selangor turun 36 peratus – JKNS

SHAH ALAM, 8 DIS: Kes denggi di Selangor menurun kepada 43,215 setakat minggu ke-49 tahun ini berbanding 67,600 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah kesihatan negeri berkata jumlah tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 36.1 peratus (24,385 kes) dengan 152 kawasan wabak dikesan.

“Lima daerah yang merekod kes denggi paling tinggi ialah Petaling dengan 15,040 kes, Hulu Langat (9,442 kes), Klang (6,814 kes), Gombak (6,390 kes) dan Sepang (2,353 kes).

“Sebanyak 37 kematian dilaporkan iaitu penurunan 31.5 peratus berbanding 54 kes dalam tempoh sama tahun lepas,” kata Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman menerusi kenyataan semalam.

Sehubungan itu, beliau menyarankan masyarakat mengamal langkah pencegahan dengan membersih sekitar premis dan kediaman bagi mengelak pembiakan nyamuk Aedes.

“Luangkan hanya 10 minit seminggu, pastikan semua takungan air yang tidak digunakan dimusnahkan selain menutup takungan air kekal atau meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik,” katanya.


Pengarang :