Foto laman web MyRapid
AGENDA NASIONAL

Bilangan penumpang susut, Rapid Bus susun semula laluan

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Rapid Bus Sdn Bhd, pengendali perkhidmatan bas di Lembah Klang, Pulau Pinang, Pahang dan Perak kini melaksanakan penyusunan semula laluannya bagi mengoptimumkan sumber dan aset susulan pelbagai cabaran dan kekangan akibat penularan pandemik Covid-19.

Rapid Bus, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah penyusunan semula itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan perubahan laluan akan dibuat dari semasa ke semasa.

“Penumpang Rapid Bus akan sentiasa dimaklumkan tentang perubahan-perubahan ini,” menurut kenyataan itu.

Perubahan yang dilaksanakan adalah berdasarkan kajian teliti terhadap trend data permintaan penumpang dan jumlah penumpang keseluruhan yang kian merosot, terutamanya bagi beberapa laluan yang mengalami kesan penurunan jumlah penumpang yang besar, jelasnya.

“Buat masa ini jumlah keseluruhan penumpang bagi semua laluan di bawah Rapid Bus telah susut daripada sekitar 429,000 penumpang sehari ketika sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas kepada sekitar 180,000 penumpang sehari, iaitu penurunan melebihi 58 peratus,” menurut Rapid Bus.

Rapid Bus turut memaklumkan, perubahan laluan yang diumumkan sejak 19 November lepas dan berkuat kuasa 1 Disember turut melibatkan penggabungan, penamatan dan penyusunan semula beberapa laluan dan pengumuman tersebut turut disertakan dengan maklumat laluan alternatif bagi laluan yang telah berubah.

“Rapid Bus seperti juga syarikat-syarikat pengangkutan awam lain, tidak bebas daripada kesan impak Covid-19 yang turut mengurangkan jumlah penumpang dan hasil kutipan secara mendadak sejak pandemik ini bermula.

“Oleh itu, salah satu inisiatif yang dilakukan adalah menilai semula keseluruhan operasi laluan-laluan Rapid Bus terutamanya laluan yang mempunyai jumlah penumpang yang terlampau rendah. Kami ingin tekankan bahawa sebelum sebarang keputusan dibuat, kajian yang terperinci akan dilakukan,” jelasnya.

Rapid Bus adalah pengendali perkhidmatan bas Rapid KL, bas perantara Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT), perkhidmatan bas Rapid Transit-laluan Sunway, Rapid Penang, Rapid Kuantan dan Rapid Kamunting.

Secara keseluruhan, Rapid Bus mengendalikan lebih 400,000 penumpang sehari pada tahun lepas.

-BERNAMA

 


Pengarang :