Mangsa banjir, Rozaiman Ibrahim, 34, (kanan) bersama isterinya Nor Ellham Mohamed, 31 (kiri), dan anak mereka, Aira Qhhaisara, 1, tengah) duduk di hadapan rumah ibu mereka yang dilanda banjir ketika tinjauan di Kampung Banggol, pada 4 Disember 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bomba ambil masa 30 minit pujuk mangsa banjir berpindah

HULU TERENGGANU, 20 DIS: Pihak bomba terpaksa mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memujuk seorang penduduk di Kampung Lenjang yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), tengah malam semalam meskipun rumahnya berisiko dinaiki air.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohd berkata apabila dipujuk wanita berusia 30-an yang mempunyai empat orang anak itu memberikan pelbagai alasan untuk tidak berpindah.

“Kami juga terpaksa ‘mengumpan’ anak-anaknya untuk merasai pengalaman menaiki lori bomba supaya mereka turut bersetuju berpindah ke PPS,” katanya kepada pemberita di rumah wanita tersebut di Kampung Lenjang di sini.

Tinjauan pemberita yang turut berada di lokasi tersebut mendapati ibu muda itu akhirnya bersetuju untuk berpindah pada pukul 12.15 tengah malam tadi.

Sementara itu di Permaisuri, tiga sekeluarga termasuk seorang bayi lelaki berumur setahun berdepan detik cemas apabila pacuan empat roda yang dinaiki tergelincir dan hampir terjunam ke dalam sungai ketika melalui sebuah jambatan di Kampung Sri Bayas malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Zull Azman Jamaludin berkata kejadian itu menyebabkan kesemua mangsa terperangkap di dalam kenderaan kerana kedua-dua tayar di bahagian depan dan belakang sebelah kanan telah melepasi jambatan.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.25 malam dan ketika tiba di lokasi didapati kedua-dua tayar sebelah kanan pacuan empat roda itu telah terkeluar dari jambatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kesemua mangsa berjaya keluar daripada kenderaan tanpa mengalami sebarang kecederaan dan bayi tersebut dibawa ke Hospital Setiu oleh pasukan bomba.

Di Pasi Mas, Kelantan, JBPM Kelantan meminta supaya orang ramai yang hendak berpindah ke PPS supaya menasihati supaya penduduk di kawasan berisiko banjir memberikan kerjasama dengan mendapatkan bantuan pihak terlibat dalam operasi penyelamatan bagi mengelak berlaku sebarang perkara tidak diingini seperti kenderaan tersekat di tengah jalan dan kes hanyut.

“Lebih bagus sekiranya penduduk dapat berikan maklumat awal kepada pihak berkuasa seperti JBPM, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM)… sebagai contoh maklumkan kalau ada ahli keluarga merupakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) atau mengalami sakit kritikal, maka kita akan bantu pindah lebih awal,” kata Penolong Pengarah Operasi JBPM Kelantan Mohd Wildan Azhari.

-BERNAMA


Pengarang :