Selangorkini
AGENSI SELANGOR

Bomba pasang alat menyelamat di kawasan risiko lemas

HULU SELANGOR, 21 DIS: Peralatan menyelamat di air yang dihasilkan sendiri Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor daripada bahan kitar semula akan ditempatkan di lokasi berisko tinggi berlaku kejadian lemas termasuk di kawasan rekreasi.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata Peralatan Menyelamat Asas Di Air Dari Bahan Kitar Semula atau Reward itu dihasilkan menggunakan tiub tayar kereta bagi menggantikan pelampung dan bekas tong air bagi menggantikan boya yang diikat bersama-sama dengan tali.

Beliau berkata Reward dihasilkan dengan kos minimum namun mempunyai nilai tinggi dari segi kegunaannya apabila berlaku kejadian yang tidak diduga.

“Peralatan itu boleh dikendalikan orang awam sebagai persediaan jika berlaku sebarang kecemasan dan jika peralatan itu mengalami sebarang kerosakan ataupun kehilangan, ia mudah digantikan kerana diperbuat daripada bahan kitar semula yang mudah dicari.

“Mengikut rekod bomba, dari tahun 2016 hingga 2020, kes kematian lemas di kawasan berisiko termasuk pantai, pembetung, tali air, tasik dan air terjun mencecah 175 kematian di Selangor,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Reward di Air Terjun Sungai Sendat, Ulu Yam dekat sini.

Norazam berkata antara kawasan berisiko yang bakal dilengkapkan dengan peralatan itu ialah Sungai Kanching di Rawang, Empangan Semenyih, Empangan Taman Putra Perdana di Puchong, Jambatan Stesen KTM di Sungai Buloh, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kampung Timah di Bukit Beruntung, Sungai Chiling di Kuala Kubu Bharu dan Sungai Gasi di Sungai Buloh.

“Secara keseluruhan, sebanyak 63 kematian akibat lemas dicatatkan di kawasan yang dikenal pasti sebagai berisiko,” katanya.

Pada majlis yang turut dihadiri pegawai Jabatan Perhutanan itu, JBPM melakukan gimik menyelamat mangsa menggunakan Reward.

-BERNAMA


Pengarang :