AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Indeks utama Bursa Malaysia, FBM KLCI dibuka rendah pagi ini selepas mencatatkan penurunan pada Jumaat, sementara indeks lain juga bergerak menghala ke arah trend menurun berikutan kebimbangan yang kian ketara terhadap kes Covid-19 seluruh dunia.

Setakat pukul 9.15 pagi ini, indeks penanda aras utama menyusut sedikit sebanyak 1.04 mata kepada 1,651.45 berbanding 1,652.49 ketika ditutup pada petang Jumaat.

Pada paras pembukaan, indeks utama susut 3.64 mata kepada 1,648.85.

Pergerakan harga keseluruhan pasaran menyaksikan perbezaan tipis antara kaunter untung dan rugi dengan 269 berbalas 252 sementara 383 kaunter tidak berubah, 1,263 tidak diniagakan dan 47 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 553.42 juta unit bernilai RM172.88 juta.

Seoranga penganalisis pasaran berkata pasaran akan menyaksikan pergerakan tidak menentu sepanjang urus niaga hari ini berikutan perkembangan kes varian baharu Covid-19 di London dan ini telah menjejaskan keyakinan pasaran terhadap kemajuan vaksin.

“Pada masa ini, negara-negara di seluruh dunia telah berjaya memperoleh sebahagian daripada vaksinasi tetapi dengan perkembangan penularan varian baharu di London, ekonomi mulai bimbang langkah pelancaran vaksin tidak cukup untuk menangani krisis kesihatan global,” kata beliau.

Berikutan perkembangan baharu ini, ia turut menjejaskan pasaran global seluruh dunia termasuk Indeks Straits Times yang menyusut 14.62 mata kepada 2,834.36, Nikkei jatuh 151.18 mata kepada 26,612.21 dan Perindustrian Dow Jones merudum 124.35 mata kepada 30,179.05.

Bloomberg melaporkan Setiausaha Kesihatan United Kingdom (UK), Matt Hancock mengesahkan varian baharu Covid-19 yang mencetuskan sekatan ketat di London dan tenggara England berada ‘di luar kawalan’.

Beliau turut memberi amaran langkah ketat itu akan terus dikuatkuasakan sehingga program vaksinasi dilaksanakan secara menyeluruh.

Sementara itu, dari sudut penanda aras teknikal, beliau berkata indeks dijangka bergerak antara 1,645 dan 1,670 sepanjang hari.

Bagi prestasi kaunter berwajaran tinggi, Petronas Dagangan turun 74 sen kepada RM20.50, Kuala Lumpur Kepong susut 26 sen kepada RM23.83, Telekom menyusut tujuh sen kepada RM5.34 dan IHH lebih rendah 10 sen kepada RM5.34.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 16.62 mata kepada 11,873.90, Indeks FBMT 100 merosot 144.15 mata kepada 11,650.05, Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 30.18 mata kepada 13,304.20, FBM 70 lebih rendah 149.24 mata kepada 15,218.60, manakala FBM ACE menambah 23.42 mata kepada 10,471.00.

Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.36 mata kepada 176.05, Indeks Perladangan turun 5.44 mata kepada 7,344.36, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 17.64 mata kepada 15,407.30.

– BERNAMA


Pengarang :