AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dijangka diniaga tinggi minggu depan

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Bursa Malaysia dijangka melantun semula untuk diniagakan kukuh minggu depan dengan petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diunjur menguji paras psikologi 1,700 di tengah-tengah aktiviti memperelokkan akaun dan sentimen pasaran yang bertambah baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata indeks utama itu dijangka melangkah ke tahun baharu dengan catatan tinggi apabila para pelabur mendapat keyakinan ke arah penghujung tahun.

“Kebiasaannya, minggu terakhir Disember dan minggu pertama tahun baharu adalah minggu yang paling kukuh sepanjang tahun, oleh itu saya percaya KLCI akan bergerak lebih tinggi antara paras 1,680 dan 1,700,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sentimen pasaran dijangka positif berikutan peningkatan harga komoditi, kekukuhan ringgit berbanding dolar AS, keyakinan terhadap pengedaran vaksin Covid-19 di Malaysia pada tahun depan serta perjanjian perdagangan bebas antara Britain dan Kesatuan Eropah.

Nazri Khan berkata keseluruhan jumlah dagangan pasaran dijangka kecil dalam tempoh dua minggu akan datang kerana majoriti pembeli institusi tidak memasuki pasaran berikutan cuti panjang hujung tahun, tetapi momentum pasaran akan disokong oleh belian dalam saham permodalan kecil.

Bursa Malaysia bermula lemah pada minggu yang baru berakhir ini apabila sentimen pelabur terjejas oleh kebimbangan terhadap tinjauan ekonomi global dan minat risiko terus merosot pada hari berikutnya susulan berita kemunculan varian baharu Covid-19 di United Kingdom yang boleh menjangkiti dengan pantas selain penurunan harga minyak dunia.

Bagaimanapun, pasaran tempatan kembali pulih pada Rabu disokong oleh aktiviti membeli saham berharga rendah menjelang cuti panjang hujung minggu, berikutan berita positif penghantaran vaksin Covid-19 oleh syarikat famaseutikal AstraZeneca, yang dijangkakan pada separuh pertama 2021.

Namun pada Khamis, FBM KLCI susut kembali berikutan aktiviti pengambilan untung di tengah-tengah sentimen pasaran yang berhati-hati sebelum cuti pada Jumaat sempena sambutan Hari Krismas.

Bagi asas Jumaat ke Khamis, petunjuk pasaran FBM KLCI turun 11.32 mata kepada 1,641.17 pada Khamis daripada 1,652.49 pada Jumaat minggu sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 79.57 mata kepada 11,810.92, Indeks FBMT 100 susut 80.12 mata kepada 11,569.93, FBM 70 berkurangan 106.06 mata kepada 15,112.54 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 51.29 mata kepada 13,283.18.

Bagaimanapun, Indeks FBM ACE melonjak 209.65 mata kepada 10,657.3.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 57.48 mata kepada 7,407.28, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.2 mata kepada 175.89 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 164.63 mata kepada 15,260.37.

Indeks Tenaga jatuh 28.58 mata kepada 879.47, Indeks Penjagaan Kesihatan turun 29.95 mata kepada 3,672.36 manakala Indeks Teknologi berkurangan 0.46 mata kepada 67.41.

Jumlah dagangan mingguan jatuh kepada 28.99 bilion unit bernilai RM14.05 bilion dripada 50.37 bilion unit bernilai RM26.15 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 17.26 bilion saham bernilai RM10.7 bilion daripada 32.40 bilion saham bernilai RM22.03 bilion sebelumnya.

Bagaimanapun, jumlah dagangan waran meningkat kepada 7.85 bilion unit bernilai RM364.77 juta daripada 4.97 bilion unit bernilai RM804.71 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 9.52 bilion saham bernilai RM2.99 bilion daripada 13.04 bilion saham bernilai RM3.31 bilion.

– BERNAMA


Pengarang :