AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia diniaga tinggi awal dagangan

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini, dipacu oleh aktiviti belian membabitkan kaunter-kaunter berkaitan indeks yang didahului oleh Public Bank.

Pada 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 11.27 mata kepada 1,642.97 selepas menokok 9.29 mata kepada 1,640.99 sewaktu dagangan dibuka.

Public Bank menyumbang 10.742 mata kepada kenaikan indeks itu selepas menokok RM1.42 kepada RM19.88 dengan sejumlah 2.77 juta saham saling berpindah tangan.

Semalam, kumpulan perbankan itu mengumumkan cadangan terbitan bonus sehingga 15.53 bilion saham bonus berdasarkan asas empat saham bagi setiap pegangan saham sedia ada.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 305 berbanding 230 manakala 345 kaunter lain tidak berubah, 1,259 tidak diniagakan dan 18 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 654.11 juta unit bernilai RM343.07 juta.

Rakuten Trade Sdn Bhd menjangkakan sentimen memberangsangkan secara meluas itu akan terus ketara manakala saham berkaitan vaksin yang menyaksikan aktiviti jualan semalam sebaliknya mungkin menjadi sasaran belian pada harga rendah hari ini.

Firma pembrokeran itu berkata pengumuman prestasi kewangan Top Glove hari ini juga berkemungkinan besar akan memacu minat terhadap kaunter saham sarung tangan selain kaunter peralatan perlindungan diri yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd pula menyifatkan sektor penjagaan kesihatan berkemungkinan terus menjadi tumpuan susulan peningkatan kes Covid-19.

“Kami menjangkakan segmen penjagaan kesihatan akan melantun semula sekurang-kurangnya pada sesi awal dagangan hari ini susulan perkembangan saham-saham penjagaan kesihatan yang didahului oleh Top Glove menjelang pengumuman prestasi kewangannya,” kata firma itu dalam nota penyelidikannya.

Selain itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik dua sen kepada RM8.26, IHH Healthcare meraih lapan sen kepada RM5.63 manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.60.

Tenaga pula susut dua sen kepada RM10.74, Top Glove turun satu sen kepada RM7.08 dan Hartalega berkurangan 16 sen kepada RM14.50.

Bagi saham aktif, Pegasus dan Fintec masing-masing tidak berubah pada tiga sen dan 10.5 sen, XOX turun setengah sen kepada 10 sen dan P.A Resources masing-masing susut satu sen kepada 17.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 72.92 mata kepada 11,888.71, Indeks FBMT 100 menambah 57.27 mata kepada 11,625.9 dan FBM ACE meraih 57.31 mata kepada 10,914.9.

FBM 70 susut 12.21 mata kepada 15,355.33 manakala Indeks Syariah FBM Emas turun 19.29 mata kepada 13,580.59.

Dalam pada itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.32 mata kepada 175.2, Indeks Perladangan susut 24.19 mata kepada 7,345.52 namun Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 268.25 mata kepada 14,832.61.

-BERNAMA


Pengarang :