AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia terus kukuh pagi ini

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Bursa Malaysia meneruskan momentum peningkatan semalam untuk dibuka lebih kukuh pagi ini, disokong oleh belian berterusan di kaunter berkaitan indeks dan saham bermodal kecil di celah-celah harga minyak mentah yang tinggi.

Pada pukul 9.07 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 7.87 mata kepada 1,662.26 selepas dibuka tinggi sebanyak 6.37 mata pada 1,660.76.

Pergerakan harga di seluruh pasaran terus positif dengan kaunter untung mengatasi rugi dengan 376 berbalas 190, manakala 337 kaunter tidak berubah, 1,234 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 792.98 juta unit bernilai RM263.9 juta.

Dalam satu nota penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd berkata walaupun Wall Street ditutup bercampur-campur, aktiviti urus niaga di pasaran tempatan lebih cenderung bergerak ke sisi yang lebih positif.

Ini didorong oleh saranan panel Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) agar vaksin Covid-19 Pfizer diluluskan bagi kegunaan kecemasan dan ini telah merancakkan sentimen kerana peserta pasaran mungkin akan terus mendapatkan keuntungan daripada kaunter berkaitan penjagaan kesihatan, kata firma penyelidikan itu.

“Pada masa sama, kami turut maklum bahawa harga minyak Brent dan minyak sawit mentah diniagakan tinggi semalaman seiring dengan keyakinan terhadap perkembangan vaksin.

“Dengan demikian, sektor minyak dan gas boleh kembali pulih disebabkan peningkatan harga komoditi, begitu juga dengan sektor pembinaan dan bahan bangunan (keluli dan simen),” tambahnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik sembilan sen kepada RM8.47, Public Bank meningkat 26 sen kepada RM20.46, Petronas Chemicals menokok 12 sen kepada RM7.78, sementara Tenaga, Top Glove dan Hartalega masing-masing menambah dua sen kepada RM10.52, RM7.01 dan RM14.38.

Antara saham paling cergas, Sapura Energy naik satu sen kepada 13.5 sen, Nexgram dan AirAsia X menambah setengah sen, masing-masing pada 0 5.5 sen dan 9.5 sen, Bumi Armada menokok 2.5 sen kepada 38.5 sen dan Hibiscus lebih tinggi sebanyak tiga sen kepada 64.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 65.41 mata pada 11,988.28, Indeks FBMT 100 mengembang 60.47 mata kepada 11,743.39, FBM 70 menambah 98.47 mata kepada 15,436.31 dan Indeks FBM Emas Syariah memperoleh 53.45 mata kepada 13,534.44.

Bagaimanapun, FBM ACE menyusut 29.08 mata kepada 11,010.83.

Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.11 mata kepada 177.49, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 147.24 mata kepada 15,466.28 sementara Indeks Perladangan meningkat 9.35 mata kepada 7,364.36.

– BERNAMA


Pengarang :